Amir Mamat

Jasin: "Adik minta dikebumikan cepat. Itu permintaan dia kepada abangnya dalam mimpi malam tadi," kata Norlida Abu Hassan, ibu angkat kepada kanak-kanak berusia tujuh tahun yang meninggal dunia dipercayai didera ibu kandung dan bapa tirinya, Jumaat lalu.

Norlida, 50, yang mesra dipanggil Ummi berkata, kehadiran 'anak syurga' berkenaan dalam mimpi seorang daripada dua anak lelakinya, malam tadi, membuatkan hatinya tenang dan reda jasad kanak-kanak itu dikebumikan di kampung ibu kandungnya.

Meskipun sebelum ini beliau meminta supaya jenazah berkenaan dikebumikan di Rawang, Selangor, keluarganya reda apabila keputusan tidak menyebelahi mereka, lalu merelakan jasad 'anak bongsunya' itu dikebumikan di Jasin.

"Alhamdulillah, Adik dah selamat dikebumikan dan saya reda apa yang berlaku. Terima kasih kepada keluarga kandung dia yang bekerjasama dengan Ummi sehingga selesai (jenazah dikebumikan)," katanya yang sebak ketika ditemui selepas menghadiri pengebumian kanak-kanak itu di Tanah Perkuburan Islam Padang Lebar, Kampung Simpang Bekoh, di sini, hari ini.

Menceritakan keadaan jenazah kanak-kanak itu sewaktu proses pengecaman dan bedah siasat semalam, Ummi berkata, wajah arwah 'segar' seolah-olah bukan seperti orang sudah meninggal dunia dalam tempoh empat hari.

"(Sepanjang menjaganya) dia selalu tidur dengan saya, peluk saya sebelum tidur. Sebelum tidur dia akan tengok wajah saya dan saya tengok wajah dia.

"Wajahnya (selepas meninggal dunia) tenang dan bersih, sama seperti apa yang saya tengok hari-hari (sebelum ini).

"Saya berjanji dengan dia dalam hati untuk datang semula ke pusaranya lagi. Insya-Allah saya akan selalu datang sini. Tolong doakan untuk arwah Adik ya," katanya.

NORLIDA bersama ahli keluarganya selepas selesai pengebumian. FOTO AMIR MAMAT
NORLIDA bersama ahli keluarganya selepas selesai pengebumian. FOTO AMIR MAMAT

Kanak-kanak terbabit ditemui meninggal dunia di kediamannya di Taman Krubong Jaya, Paya Rumput, di sini dalam sebuah tong air berketinggian 60.9 sentimeter pada 4 petang, Jumaat lalu.

Siasatan polis mendapati, hasil pemeriksaan fizikal terhadap mayat mangsa menemui kesan lebam dan kecederaan di beberapa anggota badan, sebelum mayat kanak-kanak itu dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Melaka untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Hasil bedah siasat semalam mendapati, terdapat banyak kesan lebam serta beberapa kecederaan lama dan baru di badan kanak-kanak terbabit.

Selain itu, terdapat kesan luka kecil sepanjang tiga sentimeter di belakang kepala yang dipercayai baru berlaku ke atas mangsa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman, dilaporkan berkata, pihaknya masih belum dapat mengesahkan punca kematian mangsa sama ada disebabkan didera atau lemas.

Beberapa spesimen seperti jantung, hati dan paru-paru mangsa dihantar ke makmal untuk ujian lanjut.

Sementara itu, ahli keluarga kandung arwah enggan bertemu dengan media, malah turut menghalang media untuk merakam gambar pengebumian kanak-kanak terbabit.

Berita berkaitan:

  • Jenazah kanak-kanak dipercayai didera selamat dikebumikan
  • Jenazah kanak-kanak dituntut keluarga kandung
  • Lebam, luka lama dan baru pada badan mangsa - Polis
  • JKM mohon jaga dua adik-beradik mangsa dipercayai didera
  • Bantal busuk pengganti adik - Norlida
  • Ibu kandung pernah terima rawatan psikiatri - Polis
  • 'Mangsa sering bersendirian, termenung' - Jiran
  • 'Saya menyesal... sepatutnya saya pertahankan Adik'
  • Suami isteri disyaki dera anak sampai mati direman
  • 'Tidak kasihan ke individu itu kepadanya?'
  • Budak maut didera
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Februari 2021 @ 4:05 PM