Norlida dan Md Tarmidi Yaaccob (kanan) bersama ahli keluarga di kubur Adik di Tanah Perkuburan Islam Padang Lebar, Simpang Bekoh, Jasin. FOTO AMIR MAMAT
Norlida dan Md Tarmidi Yaaccob (kanan) bersama ahli keluarga di kubur Adik di Tanah Perkuburan Islam Padang Lebar, Simpang Bekoh, Jasin. FOTO AMIR MAMAT
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: "Alhamdulillah, semua urusan berjalan lancar semalam dan kami sekeluarga kini dalam perjalanan pulang ke Rawang, Selangor," kata Md Tarmidi Yaacob, bapa angkat kanak-kanak lelaki yang meninggal dunia, Jumaat lalu dipercayai akibat didera.

Md Tarmidi, 53, berkata, sebelum pulang ke Rawang, dia sekeluarga singgah dulu ke Tanah Perkuburan Islam Padang Lebar, Simpang Bekoh, Jasin untuk menziarahi pusara anak angkatnya yang mesra disapa Adik.

"Selesai urusan pengebumian Adik semalam, kami sekeluarga berehat dan diberi bermalam secara percuma oleh pemilik inap desa.

"Selepas Zuhur tadi, kami sekeluarga bergerak untuk pulang tetapi singgah dulu ke tanah perkuburan bagi memenuhi permintaan isteri (Norlida Abu, 48) dan anak-anak yang mahu menziarahi pusara Adik.

"Kami akan datang lagi ke sini (pusara Adik) cuma tidak tahu bila memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) belum tamat jadi agak sukar untuk merentas negeri," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Portal Harian Metro sebelum ini melaporkan kisah kanak-kanak lelaki yang ditemukan meninggal dunia dalam tong air di rumahnya di Taman Krubong Jaya, Melaka dengan kesan cedera dan lebam di anggota badan.

Jenazah kanak-kanak itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Padang Lebar, Simpang Bekoh, di sini, pada 12.40 tengah hari, semalam.

Sebelum itu, jenazah dibawa dari Hospital Melaka pada 10 pagi selepas dituntut wakil keluarga kandung mangsa dan tiba di Madrasah Asy-Syakirin, Kampung Simpang Bekoh sejam kemudian untuk dimandi, dikafankan dan disembahyangkan.

Polis mengawal ketat madrasah dan kawasan perkuburan dengan mengehadkan kemasukan orang awam.

Hanya ahli keluarga serta beberapa penduduk kampung dibenarkan masuk ke kedua-dua lokasi berkenaan.

Wakil media yang membuat liputan tidak dibenarkan masuk ke kawasan perkuburan atas permintaan keluarga kandung.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Februari 2021 @ 4:13 PM