NORLIDA (kanan) menjaga anak angkatnya sejak berusia dua bulan. FOTO ihsan Tuhfah Nazihah Md Tarmidi
NORLIDA (kanan) menjaga anak angkatnya sejak berusia dua bulan. FOTO ihsan Tuhfah Nazihah Md Tarmidi
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: "Bukan tak (tidak) boleh terima tetapi sedih seandainya kematiannya disebabkan kekejaman manusia," kata Norlida Hassan ,ibu angkat kanak-kanak yang dilaporkan meninggal dunia semalam dipercayai akibat didera.

Norlida, 48, yang menetap di Rawang, Selangor mengakui terkejut dengan pemergiannya kerana berlaku dengan tiba-tiba selepas tiga bulan anak angkatnya itu tidak tinggal bersama.

Malah, Norlida berkata, bukan hanya dirinya malah seluruh ahli keluarganya terkesan dengan pemergian kanak-kanak lelaki berusia 7 tahun itu yang sudah dianggap seperti darah daging sendiri.

"Saya jaga dia daripada kecil seperti anak sendiri, tak pernah rasa beban malah bersyukur ada anak angkat sepertinya.

"Dia anak yang petah bercakap, bijak orangnya jadi pemergiannya memberi kesan bukan kepada saya seorang tetapi juga suami juga anak lain iaitu kakak dan abangnya.

"Kalau kena marah sikit sekalipun,dia akan menangis,memanggil Umi (nama panggilan buat Norlida) jadi tidak kasihan ke individu itu kepadanya," katanya yang sebak dan tidak dapat menahan tangisan ketika dihubungi Harian Metro.

Norlida berkata, sebaik mendapat berita, dia dan seluruh ahli tidak berlengah sebaliknya terus keluarga terus bergegas ke Melaka, malam tadi.

"Selepas dapat tahu, kami terus ke balai polis berhampiran meminta kebenaran untuk merentas negeri.

"Alhamdulillah, Allah permudahkan perjalanan sehingga kami selamat tiba di sini (Melaka).

"Saya cuba terima pemergiannya cuma berharap keadilan ditegakkan buatnya jika benar dia dibunuh," katanya

Sementara itu, anaknya, Tuhfah Nazihah Md Tarmidi, 26, berkata, dia dan keluarganya terakhir berhubung dengan adik angkatnya menerusi panggilan telefon pada akhir Oktober lalu iaitu beberapa minggu selepas diserahkan kepada ibu kandung.

Katanya, suaranya masih riang seperti biasa cuma selepas itu, dia tidak dapat lagi dihubungi kerana pelbagai alasan diberi ibu kandungnya.

"Saya dapat tahu mengenai kematian selepas dihubungi jiran petang semalam dan difahamkan, dia meninggal dunia akibat lemas tetapi ada kesan kecederaan pada badannya.

"Macam tak percaya kerana ada rasa tidak sedap hati sejak kebelakangan ini kerana memikirkan dia dan Umi (ibu) memang ada perancangan ke Melaka untuk bertemu dengannya tetapi tertangguh disebabkan PKP.

"Kami semua terkilan dan sedih malah tidak sangka dia meninggal dunia dalam keadaan sebegitu cuma buat masa ini,ma yatnya masih dibedah siasat di Hospital Melaka. Jadi, kami semua perlu menunggu keputusan penuh forensik tengah hari ini," katanya.

Semalam, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki maut dipercayai didera ibu kandung dan bapa tirinya di rumah di Taman Krubong Jaya.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa ditemukan lemas dalam tong air di rumah berkenaan dengan beberapa kesan kecederaan di beberapa bahagian badan.

Berita berkaitan:

  • Budak maut didera ibu, bapa tiri
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 January 2021 @ 11:25 AM