Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Muslim Care Malaysia Society (MCM) dengan kerjasama Pusat Khidmat Ahli Parlimen Rantau Panjang membina 10 rumah 'Home2Live' membabitkan peruntukan bernilai RM600,000.

Presiden Muslim Care Malaysia Society Zulkifli Wahijan, berkata kesemua rumah berkenaan dibina serentak bermula Oktober tahun lalu dan siap sepenuhnya Januari lalu sebelum diserahkan kunci kepada penerima iaitu dalam kalangan asnaf termasuk mangsa kebakaran.

Katanya, sebanyak RM60,000 diperuntukan untuk pembinaan sebuah rumah dan kos pembinaan ditanggung oleh MCM bersama Pusat Khidmat Ahli Parlimen Rantau Panjang bagi menyediakan kediaman selesa buat penerima yang layak.

"Pemilihan penerima rumah 'Home2Live' dilakukan dengan kerjasama pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Rantau Panjang sendiri. Semoga rumah yang dibina ini dapat memberi sinar baharu kepada penerima.

"Selain itu, terdapat tiga lagi rumah yang dibina oleh MCM, yang masih dalam pembinaan masing-masing di Kubang Kerian, Rantau Panjang dan Pasir Mas.

"Bukan sahaja kediaman yang selesa, malah pihak kami juga ada membina 10 buah telaga air di sini untuk kemudahan penduduk agar menerima sumber air yang bersih untuk kehidupan seharian," katanya ketika ditemui selepas di Majlis Serahan Kunci 10 Rumah 'Home2Live' di Pusat Latihan dan Aktiviti Komuniti Rantau Panjang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan Ahli Parlimen Rantau Panjang Datuk SitiZailah Mohd Yusuff.

DATUK Ahmad Yakob, (empat dari kiri) bersama salah seorang penerima rumah baharu di Majlis Serahan Kunci 10 Rumah 'Home2Live'. FOTO Syaherah Mustafa
DATUK Ahmad Yakob, (empat dari kiri) bersama salah seorang penerima rumah baharu di Majlis Serahan Kunci 10 Rumah 'Home2Live'. FOTO Syaherah Mustafa

Zulkifli berkata, 'Home2Live' adalah satu daripada inisiatif MCM untuk membantu golongan asnaf terpilih dengan cara membina rumah untuk mereka tinggal dan kos pembinaannya ditanggung oleh MCM.

"Inisiatif ini bermula ketika wabak Covid-19 mula melanda negara lebih dua tahun lalu dan sehingga kini sudah lebih 50 rumah dibina di seluruh negara.

"MCM ialah badan bukan kerajaan (NGO) Islam yang bergiat aktif dalam misi bantuan kemanusiaan serta dakwah di dalam serta luar negara.

" Kami banyak terbabit dengan misi di Palestin, Syria, Indonesia, Pakistan, Iran, Iraq, Myanmar, Kemboja serta beberapa negara lagi yang ditimpa bencana," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 April 2023 @ 1:58 PM