KETUA Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
KETUA Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Muhaamad Hafis Nawawi


SEMBILAN kes baharu Covid-19 dengan tiada pertambahan kematian direkodkan, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan sembilan kes itu menjadikan jumlah kumulatif Covid-19 di Malaysia kini 8,764 kes dengan jumlah kes aktif dan kebolehjangkitan sebanyak 96 kes.

Menurutnya, daripada sembilan kes baharu itu, empat kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara membabitkan tiga warganegara Malaysia dan satu bukan warganegara yang berkahwin dengan rakyat Malaysia.

"Empat kes import itu adalah dua dari Indonesia, satu dari Singapura dan satu dari Pakistan.

"Daripada lima kes penularan di dalam negara, satu kes bukan warganegara Malaysia iaitu kes saringan sebelum berlepas ke luar negara (China).

"Beliau tidak bergejala dan dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak," katanya dalam kenyataan media berkaitan Covid-19, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, baki empat kes penularan di dalam negara pula adalah dalam kalangan warganegara Malaysia iaitu satu kes saringan kontak rapat dalam Kluster Mambong, satu kes saringan pra prosedur di Hospital Bau, Kuching dan dua kes daripada Kluster Stutong iaitu kluster baharu.

"Setakat 12 tengah hari tadi, sebanyak lima kes pulih dilaporkan sekali gus menjadikan jumlah kumulatifnya 8,546 kes atau 97.5 peratus.

"Kini ada seorang individu dirawat di Unit Rawatan Rapi dan jumlah kematian kekal 122," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Julai 2020 @ 5:17 PM