Foto hiasan
Foto hiasan
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Sebanyak 52 kes positif baharu jangkitan Covid-19 dilaporkan hari ini, dengan 40 kes daripadanya adalah penularan tempatan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 10,219 kes dan kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 734 kes.

Menurutnya, sebanyak 12 kes import yang mendapat jangkitan di luar negara membabitkan tiga warganegara dan sembilan bukan warganegara.

Katanya, lapan daripadanya pulang dari India, manakala masing-masing satu kes dari Indonesia, Bangladesh, Yaman dan Rusia.

"Kes penularan tempatan pula membabitkan 26 warganegara dan 14 bukan warganegara.

"Daripada 40 kes penularan tempatan, sebanyak 36 kes dilaporkan di Sabah iaitu Kluster Benteng LD (27), Kluster Selamat (2), saringan petugas kesihatan Hospital Lahad Datu (2) dan masing-masing satu kes dari Kluster Pulau, Kluster Bakau, kes saringan komuniti Semporna, saringan pra-pembedahan di Hospital Lahad Datu dan kes saringan sebelum masuk kerja.

"Baki empat lagi kes membabitkan tiga kes saringan komuniti di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran Kota Setar, Kedah dan satu daripada Kluster Ara di Pulau Pinang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat 40 kes yang pulih dan dibenarkan discaj hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya adalah sebanyak 9,355 kes iaitu 91.6 peratus.

Selain itu, katanya, terdapat 10 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan dua memerlukan bantuan pernafasan.

Tambah beliau, tiada kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) setakat 12 tengah hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian kekal 130 kes.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 September 2020 @ 6:14 PM