GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti tiga kluster baharu iaitu Kluster Rumah Kongsi Sepang, Kluster Restoran Kuala Lumpur dan Kluster Jeti Kuching.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, satu kluster baharu dikesan di sebuah tapak pembinaan di Sepang, Selangor dan sehingga 12 tengah hari, hari ini, 96 pekerja disaring terdiri daripada sembilan warganegara Malaysia dan 87 bukan warganegara.

Menurutnya, mereka yang disaring itu terdiri 63 warga Indonesia, 22 warga Bangladesh, sembilan warga Malaysia dan dua warga Myanmar.

"Daripada jumlah saringan itu, 96 orang disampel dan keputusannya dua dikesan positif Covid-19 dan 94 adalah negatif.

"Kluster ini membabitkan dua bukan warganegara iaitu satu warga Indonesia yang juga kes indeks kluster ini (iaitu kes ke-8,739) dan seorang warga Bangladesh iaitu kontak rapat kes yang dilaporkan pada hari ini," katanya dalam kenyataan media berkaitan Covid-19 di Kuala Lumpur, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, satu lagi kluster baharu dikesan di sebuah restoran di Brickfields, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, iaitu hasil saringan rawak di lapangan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

"Sehingga 12 tengah hari hari ini, seramai 250 orang iaitu 14 pekerja restoran dan 236 pelanggan restoran disaring.

"Daripada jumlah saringan ini, 250 orang disampel dan keputusan persampelan setakat ini adalah dua kes positif Covid-19 dan 248 negatif," katanya.

Beliau berkata, kluster itu membabitkan dua kes bukan warganegara iaitu warga India yang juga kes indeks kluster ini (iaitu kes ke-8666) dan kontak rapat kes yang dilaporkan pada hari ini.

"Satu lagi kluster baharu dikesan di Sarawak apabila 25 nelayan disaring dan keputusan persampelan setakat ini dua kes dikesan positif Covid-19 dan 23 negatif.

"Kluster ini membabitkan dua bukan warganegara iaitu warga Indonesia yang juga kes indeks kluster ini (iaitu kes ke-8,736) dan kontak rapat kes yang dilaporkan pada hari ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Julai 2020 @ 5:55 PM