DR Noor Hisham Abdullah. FOTO arkib NSTP
DR Noor Hisham Abdullah. FOTO arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


SEBANYAK 18 kes baharu Covid-19 dengan tiada pertambahan kematian direkodkan, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan 18 kes itu menjadikan jumlah kumulatif Covid-19 di Malaysia kini 8,755 kes dengan jumlah kes aktif dan kebolehjangkitan sebanyak 92.

Menurutnya, sebanyak 10 kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara membabitkan tujuh warga negara Malaysia dan tiga bukan warga negara yang dibenarkan masuk ke Malaysia atas urusan kerja.

"Daripada lapan kes penularan di dalam negara, enam kes adalah dalam kalangan warga negara Malaysia dan dua kes bukan warga negara.

"Perincian kes penularan Covid-19 dalam negara membabitkan warga negara adalah satu kes Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) di Hospital Umum Sarawak; satu kes dari Kluster Pusat Perubatan Kuching, dua kes saringan di tempat kerja di mana mereka tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak dan dua kes dari kluster pesakit dalam siasatan (PUI) Pitakwa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, bagi kes jangkitan dalam negara dua kes dalam kalangan bukan warga negara pula adalah satu kes dari Kluster PUI Shirala dan satu kes saringan sebelum berlepas ke luar negara di mana beliau tidak bergejala dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

"Setakat jam 12 tengah hari tadi, sebanyak tiga kes pulih dilaporkan sekali gus menjadikan jumlah kumulatifnya 8,541 kes atau 97.6 peratus.

"Kini ada tiga individu dirawat di Unit Rawatan Rapi dengan seorang memerlukan bantuan pernafasan dan jumlah kematian kekal 122," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Julai 2020 @ 5:31 PM