Saranan PPMM  elak  pembeli raja buah tertipu.
Saranan PPMM elak pembeli raja buah tertipu.
BERNAMA

SETIAP kali tiba musim 'raja buah' pasti ada pengguna yang mengeluh, apabila berasa tertipu selepas membeli durian pada harga tinggi sedangkan kualitinya tidak seberapa.

Lebih mengecewakan, apabila pulang ke rumah mendapati durian yang dibeli mengkal (tidak masak), busuk, tawar dan isi berwarna putih.

Presiden Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM), Leftenan Kolonel (B) Che Hassan Che Johan berkata, sudah tiba masanya kerajaan campur tangan memperkenalkan harga siling durian klon, mengikut gred.

"Sebagai contoh harga durian jenis musang king mempunyai gred A, B dan C, harga siling ditetapkan berdasarkan gred buah dan tindakan diambil kepada peniaga menjualnya lebih tinggi daripada harga yang telah ditetapkan," katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Beliau mengulas laporan media sebelum ini, mengenai sikap segelintir peniaga durian yang menjual buah berkenaan, mengikut model kereta yang digunakan pembeli.

"Bukan semua orang mampu membeli durian, lebih-lebih lagi mereka yang mempunyai anak ramai.

"Sebagai contoh apa perasaan seorang ayah kepada lima anak yang hanya mampu membeli sebiji atau dua, tetapi apabila pulang ke rumah mendapati buah yang dibeli rosak atau isinya keras," katanya.

Che Hassan berkata, alasan yang diberikan harga durian tidak boleh dikawal kerana ia buah bermusim adalah tidak lagi wajar.

Beliau menasihati pengguna membawa bekas ketika membeli durian agar tidak mudah tertipu.

"Nasihat saya apabila beli buah durian, jangan bawa balik sekali dengan kulit, sebaliknya kupas durian dan letak isi dalam bekas terlebih dahulu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2020 @ 8:00 AM