Tinjauan jumlah pelanggan yang semakin berkurangan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan harga durian 'jatuh' sejak beberapa hari lalu. FOTO AZIAH AZMEE
Tinjauan jumlah pelanggan yang semakin berkurangan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan harga durian 'jatuh' sejak beberapa hari lalu. FOTO AZIAH AZMEE
Nurul Hidayah Bahaudin


Bangi: Jumlah pelanggan yang semakin berkurangan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan harga durian 'jatuh' sejak beberapa hari lalu.

Peniaga durian, Muhammad Angya Nurbihat Jufrizal, 29, berkata, harga bagi semua jenis durian yang dijualnya turun antara RM5 hingga RM10 sejak Jumaat lalu.

"Bagi durian kampung, harga turun daripada RM15 sekilogram kepada RM10 sekilogram, manakala Musang King pula turun kira-kira RM10 apabila dijual pada harga RM45 sekilogram berbanding RM55 pada minggu lalu.

"Penurunan harga ini disebabkan oleh jumlah pelanggan yang berkurangan selepas PKP dilaksanakan. Apatah lagi ada banyak kawasan sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di gerai jualan durian miliknya di tepi jalan Persiaran Bandar Baru Bangi, di sini, hari ini.

Muhammad Angya berkata, kebanyakan pelanggannya memilih untuk membeli durian kampung berbanding durian gred disebabkan harganya yang lebih murah.

"Kebanyakan pelanggan tidak cerewet mengenai harga yang ditetapkan penjual kerana mereka faham situasi kami.

"Bagi memenuhi permintaan pelanggan, saya juga menjual isi durian di dalam bekas. Namun sebenarnya membeli durian dengan timbangan beserta kulit adalah lebih untung untuk pembeli," katanya.

Menurutnya, bekalan durian diperoleh dari beberapa kebun di Johor iaitu di Pagoh, Parit Jawa dan Muar sejak menjalankan perniagaan itu, tiga minggu lalu.

Sementara itu, pembeli durian, Muhamad Khuzairi Abdul Rashid, 37, berkata harga durian sudah menurun dalam tempoh PKPD.

"Dulu saya beli durian IOI pada harga RM45 sekilogram, namun saya lihat sekarang harga sudah turun hingga RM30 lebih.

"Penurunan harga ini mungkin disebabkan lambakan buah berkenaan ketika ini," katanya ketika ditemui di gerai jualan durian di Persiaran Bandar Baru Bangi, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Julai 2021 @ 6:30 PM