Zuliaty Zulkiffli


Sintok: "Buah masih di pokok tapi sudah ada pelanggan yang menempahnya dan mereka akan datang ambil sebaik buah luruh," kata Sharliza Shahidan, 53, peniaga durian di Batu 15, Jalan UUM-Sintok, di sini.

Sharliza berkata, setiap pagi dia akan menghabiskan masa kira-kira tiga jam bermula jam 7 pagi untuk mengutip durian luruh dari pokok di kawasan dusun yang terletak tidak jauh dari gerai bersama anaknya, Mohd Izzuwan Ismail, 30-an.

Menurutnya, mereka masih mengekalkan berniaga timbang isi durian dalam bekas tanpa kulit supaya dia dapat menggantikan dengan baru jika ada yang buruk atau keras.

"Sebaik keluar dari dusun jam 9 pagi, pelanggan sudah tunggu nak beli durian dan tunggu kami kupas kulitnya sebelum dimasukkan isi ke dalam bekas untuk ditimbang.

"Setiap hari saya mampu menjual antara 120 hingga 150 biji durian mengikut timbangan kilogram sama ada isi durian atau termasuk kulit," katanya ketika ditemui di gerainya hari ini.

Antara durian yang dijual termasuklah jenis kampung, udang merah, tekka, 101, 168, udang merah, B28, B26, D99, Musang King, kungpo dan 604.

Menurut Sharliza, musim durian baru bermula sejak seminggu lalu dan dia menjangkakan buah akan luruh lebih banyak minggu depan namun bergantung pada keadaan.

Katanya, dia menjual durian timbang isi sekitar RM40 sekilo namun kebanyakan pelanggan berpuas hati kerana mereka tak perlu lagi kupas kulit dan terus makan dalam bekas durian berkenaan.

"Saya belum membuka tempahan di laman sosial di Facebook (FB) seperti tahun sebelumnya dan hanya menjual pada sesiapa yang melalui kawasan gerai ini selain melalui WhatsApp berkumpulan rakan-rakan sahaja.

"Tapi kalau ada yang nak beli buah durian sebiji saya jual tapi ikut gred A,B, atau C dengan harga yang mampu dibeli iaitu sekilo RM20," katanya.

Selain mempunyai dusun durian sendiri, Sharliza juga turut menjadi peraih durian untuk menjual raja buah itu kepada orang ramai dengan harga berpatutan.

Pelanggan, Firdaus Abdul Karim, 35, berkata, dia sanggup datang awal pagi semata-mata menempah isi durian kerana biasanya buah akan habis jika datang lewat.

Dia yang membeli tiga bekas durian di situ berpuas hati membeli durian timbang isi kerana sudah tentu isinya elok berbanding di tempat lain.

Mohd Shafie Yahya, 58, dari Perak berkata, dia berpuas hati membeli durian di situ kerana isinya tebal selain buahnya yang cantik.

Katanya, durian timbangan isi lebih mudah untuk dibawa pulang ke Perak dan bau durian juga kurang berbanding durian yang dibeli sekali dengan kulit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Jun 2022 @ 10:50 AM
Sharliza (kiri) menunjukkan durian yang dijual di gerainya di tepi Jalan UUM-Sintok yang dijual timbang isi. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Sharliza (kiri) menunjukkan durian yang dijual di gerainya di tepi Jalan UUM-Sintok yang dijual timbang isi. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI