PELBAGAI jenis kenderaan import dipesan tidak dapat dihantar.
PELBAGAI jenis kenderaan import dipesan tidak dapat dihantar.
Lizam Ridzuan


KUALA LUMPUR: Ratusan kenderaan import terpakai dipesan peniaga tempatan dari Jepun dan United Kingdom (UK) masih tersadai di negara asal susulan penularan Covid-19.

Presiden Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) Datuk Zainuddin Abdul Rahman berkata, semua kenderaan itu ditempah peniaga kenderaan import terpakai tempatan pada awal penularan pandemik terbabit.

Bagaimanapun, ia tidak dapat dihantar berikutan penutupan sempadan negara dan pelbagai faktor lain.

"Banyak proses untuk mendapatkan kenderaan ini tertangguh khasnya sejak Mac lalu apabila Covid-19 menular selain faktor pendapatan syarikat tempatan yang semakin menguncup apabila perniagaan terpaksa ditutup sementara.

"Akibatnya, pengusaha berdepan masalah untuk mendapatkan kenderaan ini.

"Pada masa sama, orang ramai juga berdepan kesukaran untuk membeli kenderaan import terpakai kerana kekurangan dana," katanya.

Menurut Zainuddin, Pekema mempunyai 243 ahli di seluruh negara yang terbabit dalam perniagaan kereta import.

Pada masa sama, Zainuddin berkata, kira-kira 100 syarikat di bawah Pekema turut memiliki Permit Import (AP) terbuka.

Menurut beliau, peruntukan untuk AP ini ialah 35,000 namun tidak semua dapat dipenuhi.

"Sejak 2010, kami membayar RM10,000 untuk setiap AP yang mana 80 peratus daripada jumlah itu digunakan bagi membantu persatuan dan peniaga Bumiputera menerusi Tabung Kumpulan wang Amanah Dana Automotif Bumiputera (Kwadab).

"Ia mencatatkan kutipan sekitar RM2.83 bilion, malah lain-lain cukai disumbang kepada kerajaan turut membantu dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara," katanya.

Zainuddin berharap kerajaan dapat membantu sektor industri automotif ini dengan memberi insentif khas.

Katanya, ia bagi memastikan peniaga dapat meneruskan operasi memandangkan ramai pengusaha yang kerugian susulan penularan Covid-19.

Perkara sama dikongsi Ketua Pegawai Eksekutif LX-Mode (M) Sdn Bhd Datuk Zaharudin Zainol Rashid yang sebelum ini mempunyai tiga ruang pameran, namun terpaksa menutup operasi satu daripadanya atas faktor kos operasi yang tidak dapat mengimbangi jumlah jualan.

"Saya sudah 16 tahun menjalankan perniagaan ini dan pada tahun lalu, mencatatkan jualan lebih 100 kenderaan.

"Bagaimanapun, untuk tempoh Januari sehingga Mei ini, hanya 15 kenderaan sahaja dapat dijual," katanya.

Beliau berharap penyaluran dana Kwadab juga dapat dipermudahkan untuk semua usahawan menampung susut nilai dan kos setiap stok kenderaan seterusnya menyumbang kembali kepada pembangunan ekonomi negara.

"Memang ada dana syarikat, tetapi selepas beberapa bulan tidak beroperasi, ia memberi kesan kepada kos perniagaan.

"Kami sedang merancang strategi pemasaran baru demi kebajikan pekerja dan syarikat," katanya.

Seorang lagi usahawan yang terkesan ialah Mohd Fadzli Mustafa yang juga pemilik syarikat Kurniaan Maju Sdn Bhd yang mengusahakan perniagaan kereta dan motosikal import terpakai.

Mohd Fadzli yang mempunyai tiga ruang pameran membabitkan di Lembah Klang dan Johor sudah berkira-kira untuk mencari ruang pameran lain dengan kos sewa yang lebih berpatutan.

"Pengusaha kenderaan import terpakai perlu mendahulukan pelbagai kos pembelian lain seperti AP, cukai dan harga kereta sebelum setiap unit itu dapat dijual.

"Malah, untuk mendapatkan pembayaran daripada institusi kewangan juga perlu mengambil masa meskipun sudah meluluskan pembiayaan kepada pembeli," katanya.

Fadzli juga berharap tidak banyak kekangan dan peraturan ketat dikenakan oleh pihak berkaitan bagi memudahkan operasi penjualan kereta ini.

"Ia juga bagi memajukan usahawan Bumiputera yang hanya menguasai sekitar enam peratus pasaran daripada jumlah keseluruhan industri (TIV)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Jun 2020 @ 6:35 AM