PEKEMA jangka jumlah pengeluaran lesen AP bertambah.
PEKEMA jangka jumlah pengeluaran lesen AP bertambah.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) yakin lebih ramai usahawan Bumiputera dapat diwujudkan dalam industri ini, sekali gus memberi peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan apabila dasar baharu Permit Import (AP) Terbuka diteruskan dengan penambahbaikan dan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2017.

Presidennya, Datuk Zainuddin Abd Rahman berkata, pihaknya menyambut baik dasar itu yang dilihat mampu merancakkan semula industri kenderaan import terpakai dan memberi ruang untuk membolehkan syarikat sedia ada mematuhi syarat ditetapkan.

“Saya percaya semua yang terbabit dalam industri ini berasa lega dengan keputusan dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Malah, dengan dasar baharu itu nanti kami berharap ia mampu menaikkan semula penjualan kereta import terpakai kerana tahun ini PEKEMA menyaksikan penurunan terhadap jualan terutama apabila syarat pinjaman diketatkan pihak bank,” katanya kepada Bisnes Metro di sini, semalam.

Menurutnya, ketika ini PEKEMA mempunyai 100 ahli yang mempunyai lesen AP dan menjangkakan jumlah itu bertambah selepas dasar baharu dilaksanakan.

Zainuddin berkata, pihaknya berharap pemberian lesen AP juga hanya akan diberi kepada mereka yang betul-betul memenuhi syarat kelayakan iaitu dari segi kewangan dan pengalaman dalam industri kenderaan yang melebihi lima tahun ke atas.

Selain itu, beliau turut berharap kerajaan dapat menurunkan yuran AP kepada RM5,000 daripada RM10,000 yang dinaikkan sejak 2010.

“Sebenarnya, keuntungan pemegang lesen AP kecil kerana disebabkan kenaikan yuran bagi setiap kereta import terpakai kepada RM10,000.

“Malah kami terpaksa menyimpan kereta dalam tempoh bertahun-tahun dan sudah pasti semakin lama kenderaan tidak dijual, harganya akan menyusut mendadak dan akhirnya kami terpaksa menanggung kerugian,” katanya.

Beliau berkata, pasaran kenderaan import terpakai dijangka menguncup sehingga 2016 terutama dengan situasi ekonomi yang tidak menentu pada masa ini.

Kelmarin, MITI mengeluarkan kenyataan mengenai kerajaan sudah melaksanakan kajian menyeluruh mengenai dasar AP Terbuka kenderaan import terpakai.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Disember 2015 @ 3:06 AM