Presiden Persatuan Pengimpot Dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) Datuk Mohamed Nazari Noordin- Foto ihsan PEKEMA.
Presiden Persatuan Pengimpot Dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) Datuk Mohamed Nazari Noordin- Foto ihsan PEKEMA.
Hazwan Faisal Mohamad


Kuala Lumpur: Persatuan Pengimpot Dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) meminta kerajaan mengkaji semula cadangan untuk melantik lebih banyak syarikat permit import (AP) terbuka sebelum dilaksanakan sepenuhnya.

Presidennya, Datuk Mohamed Nazari Noordin berkata ini kerana pihaknya bimbang sekiranya syarikat-syarikat yang dilantik tidak mempunyai pengalaman yang mencukupi dan keadaan ini boleh mengakibatkan kerugian besar kerana kenderaan terpakai mempunyai kadar susut nilai yang tinggi.

"PEKEMA bimbang sekiranya syarikat yang dilantik tiada pengalaman yang boleh mengakibatkan mereka mengalami kerugian kerana kereta terpakai ini ada susut nilai yang ketara.

"Sehubungan itu, kami berharap cadangan untuk melantik lebih banyak syarikat AP terbuka dikaji semula sebelum dilaksanakan sepenuhnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau memberi maklum balas terhadap pengumuman dasar baharu oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan Dan Industri (MITI) mengenai pelaksanaan Dasar AP Terbuka yang lebih telus dan inklusif, berkuatkuasa 1 Julai 2024.

Menerusi dasar baharu ini, ia membolehkan mana-mana syarikat Bumiputera, termasuk yang tidak pernah terbabit dalam aktiviti automotif, untuk memohon menjadi syarikat AP Terbuka.

Mengulas lanjut Mohamed Nazari berkata, keutamaan perlu diberikan kepada pemain industri yang telah menunjukkan keupayaan dan pengalaman dalam bidang automotif.

"PEKEMA menyambut baik usaha kerajaan untuk memperkasakan ekonomi Bumiputera dalam bidang automotif.

"Bagaimanapun, kami menegaskan bahawa kawalan yang ketat terhadap jumlah syarikat yang diberi AP terbuka adalah penting untuk memastikan industri automotif kekal berdaya saing.

"Kawalan jumlah syarikat AP terbuka harus dikawal rapi untuk memastikan industri ini kekal kompetitif. Ini penting bagi mengelakkan lambakan syarikat yang mungkin tidak berdaya saing dalam pasaran.

"Pemilihan yang teliti perlu dilakukan untuk memastikan hanya syarikat-syarikat yang mampu menyumbang secara positif kepada industri automotif yang diberi peluang, dengan penekanan kepada kualiti berbanding kuantiti.

"Keutamaan harus diberikan kepada yang benar-benar layak dari segi pengalaman dan modal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2024 @ 3:17 PM