NEELOFA teruja lebarkan sayap ke Indonesia.
NEELOFA teruja lebarkan sayap ke Indonesia.
Georgie Joseph


MENJENGAH usia 31 tahun dan baru menyambut ulang tahun kelahirannya, langkah Neelofa untuk terus maju jelas sukar dihalang. Baik dalam bidang seni dan perniagaan, kerjayanya makin mekar saban tahun.

Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor membuktikan dia wanita serba boleh apabila berjaya membina nama yang kukuh dalam setiap lapangan diceburi. Sekali gus, semangat kentalnya itu dijadikan inspirasi ramai di luar sana terutama wanita.

Bagaimanapun, Neelofa enggan leka dengan kemasyhuran berganda yang dimilikinya sekarang. Di mata ramai, dia mungkin memiliki segala-galanya namun mengakui tidak pernah berhenti untuk perbaiki dirinya.

“Saya banyak cita-cita dan pada usia 31 tahun ini, impian saya tiada beza sangat dengan yang sebelum ini. Saya tak mahu bebankan diri untuk menjadi sempurna dan akan sedia biarkan diri untuk melakukan kesilapan serta menerimanya dengan hati yang terbuka.

“Saya mahu terus kekal menjadi diri sendiri dan sentiasa mengakui setiap kelemahan saya di samping tunjuk lagi kelebihan saya. Itu yang saya mahu tanam dengan kukuh dalam fikiran,” katanya.

Secara luaran, Neelofa tampak kuat terutama berhadapan pelbagai situasi mencabar dalam kariernya. Namun, dia mengakui sebagai manusia biasa dia tidak terlepas daripada dugaan emosi.

TIDAK berhenti memperbaiki diri.
TIDAK berhenti memperbaiki diri.

“Kalau cakap pasal fokus, tidak dinafikan ada masa fokus saya lari dan terganggu, penat dan rasa macam nak mengalah. Tapi, saya sendiri kena motivasikan diri dan cakap kepada diri sendiri untuk kembali bersemangat supaya boleh realisasikan impian saya,” katanya.

Impiannya kala ini mungkin nampak terlalu umum, bagaimanapun Neelofa sudah ada perancangan tersendiri untuk merancakkan lagi karier seninya. Menurutnya, dia tidak mahu namanya hanya tertumpu di negara sendiri.

Justeru, Neelofa dalam proses mempersiapkan diri untuk membina empayar di Indonesia pula.

Cita-citanya tinggi untuk menakluk industri di sana sehingga tahap namanya besar satu hari nanti.

“Saya sudah memiliki pengurus dari Jakarta yang juga menguruskan penyanyi dan pelakon terkenal Bunga Citra Lestari. Setakat ini, saya sudah mendapat tawaran membintangi sebuah filem yang kemungkinan memulakan penggambaran pada April.

“Selepas ini saya akan berulang-alik ke Indonesia supaya secara fizikalnya saya akan sentiasa ada di sana. Bukan setakat datang menjalankan penggambaran dan kemudian pulang balik ke Malaysia.

“Saya bercadang untuk banyak luangkan masa di sana, menghadiri acara, bertemu media dan peminat supaya mereka menerima saya sebagai sebahagian daripada artis tempatan mereka,” katanya.

Berkongsi lanjut, Neelofa juga menjalani latihan intensif belajar bahasa Indonesia.

Menurutnya, hal itu sangat penting buatnya sebelum benar-benar bersedia ke sana dan memulakan kariernya.

“Saya akan mula ke sana pada April dan sekarang masih dalam proses menguasai bahasa Indonesia dengan bantuan tutor yang datang mengajar setiap hari di rumah. Saya bawa tutor khas itu dari Jakarta untuk mengajar saya selama sebulan

“Untuk mencipta nama dengan lebih efisien, saya rasa bahasa sangat penting. Mungkin mereka akan suka saya cakap bahasa Malaysia juga, tapi saya memilih untuk menguasai bahasa mereka supaya memudahkan saya kelak berlakon untuk watak tertentu,” katanya.

Demi mengejar impian itu, Neelofa juga mengetepikan soal bayaran sebagai keutamaan dalam misi menjadi pelakon di sana. Baginya, pendedahan namanya di sana jauh lebih penting berbanding hal lain.

“Saya semestinya akan berusaha mengukuhkan nama di sana terlebih dulu berbanding memilih dalam soal bayaran. Itu lebih bermakna buat saya berbanding memikir fasal bayaran dan hakikatnya mungkin akan sukar buat saya buat nama jika mendahulukan soal wang,” katanya.

MAHU tumpukan lakonan tahun ini.
MAHU tumpukan lakonan tahun ini.

Jika diikutkan, Neelofa belum pernah terbabit dengan industri lakonan di sana. Namun, dia mengakui terharu apabila sudah ada peminat di Indonesia yang mengikuti perkembangan karier sejak dahulu.

“Walaupun saya tidak pernah buat apa-apa di Indonesia, tapi ada segelintir peminat di sana yang buat laman peminat dan mengenali saya. Mungkin mereka mengenali saya menerusi drama lakonan sebelum ini contohnya Suri Hati Mr. Pilot yang popular di sana.

“Tidak ketinggalan, perniagaan fesyen hijab saya juga mungkin antara faktor yang berjaya menangkap perhatian peminat di sana. Disebabkan itu, ada yang kenal meskipun saya tidak pernah berlakon di sana,” katanya.

Dalam pada itu, Neelofa mendedahkan tujuannya menjenamakan semula perniagaan Naelofar berpunca daripada pembabitannya dalam Lembaga Pengarah AirAsia.

“Keberadaan saya dalam syarikat itu memberi inspirasi dan antara pencetus idea untuk membuat penjenamaan semula. Saya masih ingat dalam satu mesyuarat diadakan, 99 peratus yang dibincangkan adalah baharu buat saya.

“Justeru, ia bagaikan pembelajaran baharu buat saya sentiasa terinspirasi dan mencatat apa juga idea terlintas dalam fikiran saya. Perlahan-lahan, ia membuka mata saya bahawa amat penting untuk memiliki jenama yang dimodenkan, ada ciri antarabangsa, banyak sangat saya belajar,” katanya.

Berkongsi mengenai karier lakonannya, Neelofa akan terbabit dalam beberapa projek drama tahun ini.

“Tahun lalu, saya sangat sibuk untuk proses penjenamaan baharu perniagaan fesyen saya dan berulang-alik ke London menghadiri mesyuarat mengenai projek ini. Tahun ini baru dapat fokus kembali kepada kerjaya seni.

“Insya-Allah, saya akan terbabit dalam penggambaran filem dengan produksi tempatan, tapi belum tahu bila. Saya juga akan terbabit dalam penggambaran untuk sebuah program baharu dan telefilem raya. Kiranya, tahun ini lebih kepada berlakon,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Februari 2020 @ 6:00 AM