FARAH Nabilah. FOTO Mahzir Mat Isa
FARAH Nabilah. FOTO Mahzir Mat Isa
Ridzuan Abdul Rahman

Nama pelakon cantik Farah Nabilah Saipuddin, 26, mula meniti di bibir peminat apabila melakonkan watak Delisha bergandingan dengan Alif Aziz menerusi drama bersiri Halalkan Hati Yang Ku Curi arahan Hashim Rejab.

Biarpun ramai memuji lakonannya, Farah mengakui belum berpuas hati dan banyak lagi ruang yang mahu diperbaiki menerusi drama yang ditayangkan sepanjang Ramadan lalu di TV3 itu.

“Pada saya, berlakon cerita ini sangat mencabar kerana wataknya berat. Jadual penggambaran kami amat padat kerana tayangan drama ini untuk bulan puasa.

“Ketika ditayang di TV pun, kami masih terikat dengan penggambaran,” katanya.

Farah turut menarik nafas lega meski awalnya peminat sukar menerima cerita yang diadaptasi daripada novel tulisan Mia Kiff itu.

“Hanya mereka yang baca novel faham cerita ini. Slot Akasia biasanya lebih fokuskan tema cinta.

“Ini adalah kali pertama Akasia ada kisah moral dan orang suka,” katanya.

Farah kini sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri 20 episod berjudul Cik Reen & Encik Ngok Ngek untuk Astro Megadrama.

Drama genre romantik komedi arahan Hadith Omar dan terbitan Suhan Movies & Trading Sdn Bhd itu kembali menyaksikan Farah melakonkan watak yang digalasnya pada awal pembabitan sebagai anak seni.

“Drama pertama saya Inikah Cinta genre komedi. Selepas sekian lama, saya kembali dengan genre ini.

“Penggambaran masih rancak berlangsung memandangkan ia akan ditayangkan Oktober nanti dan dijangka akan tamat sepenuhnya sebulan lagi,” katanya.

Dek sibuk dengan karier lakonan, Farah terpaksa menolak tawaran pelbagai komitmen lain termasuk sesi fotografi dengan media.

“Saya sedar publisiti penting dan bukan sengaja menolak, namun apa boleh buat, jadual kerja saya padat.

“Sekiranya tidak terikat dengan penggambaran, saya tiada masalah memenuhi permintaan rakan media,” katanya.

Menyedari dunia seni ada pasang surutnya, Farah perlu merancang masa depannya sebaik mungin.

Syarikat produksi Fawaa Dean Films yang dibantu beberapa nama berpengalaman dalam dunia penerbitan menjadi bukti usaha gigihnya untuk terus bertahan dalam industri seni.

“Kami sedang bersiap sedia untuk menerbitkan filem dan pelbagai agenda lain tahun depan. Sebenarnya, saya memang minat nak buka syarikat produksi dan terbitkan cerita sendiri.

“Saya pelakon dan kadangkala terdetik di hati, alangkah seronoknya kalau ada cerita sebegini. Kadangkala saya tak boleh nak salahkan penerbit lain apabila asyik dengan genre tertentu bagi memenuhi permintaan penonton.

“Saya nak buat sesuatu yang berbeza. Keluarga banyak menyokong dan jadi tulang belakang saya. Mereka sokong saya jadi pelakon dan apabila buka syarikat produksi, lagilah mereka suka. Saya nak cuba dan perlu kuat berdepan segala cabaran dan rintangan,” katanya.

Sebagai langkah awal, Fawaa Dean Films bercadang menghasilkan program travelog yang menampilkan minat Farah dalam dunia masakan.

FARAH Nabilah. FOTO Mahzir Mat Isa
FARAH Nabilah. FOTO Mahzir Mat Isa

“Ia akan dinamakan Kembara Bersama Farah Nabila. Saya akan menjelajah Eropah dan kemudian barulah ke destinasi lain.

“Saya menjalin kerjasama dengan pihak di sana bagi memperkenalkan Fawaa Dean Films di peringkat antarabangsa.

“Buat masa ini modal dikeluarkan oleh saya sendiri tanpa pembabitan mana-mana penaja. Filem dalam persediaan untuk diterbitkan tahun depan,” katanya.

Farah berkata buat masa ini dia belum terfikir untuk menghasilkan drama kerana lebih berminat dengan program travelog, filem dan dokumentari.

“Saya cuba dulu travelog bagi mencari pengalaman Oktober ini. Saya suka masak dan ketika buat program travelog saya akan bertemu cef terkenal di luar negara.

“Rakaman akan bermula di Jerman dan saya akan berkongsi resipi masakan Malaysia dengan cef di sana.

“Ini impian saya sejak kecil. Apabila boleh terbitkan program sendiri, saya mesti manfaatkan peluang ini sebaik mungkin,” katanya yang suka memasak sejak di usia muda.

Bagaimanapun, Farah berkata dia akan tetap berlakon dengan produksi lain sekiranya mendapat skrip yang bagus.

“Kalau ada tawaran, cerita itu ‘syok’ dan kena dengan diri saya, insya-Allah saya akan terima.

“Sepatutnya sekarang saya kena fokus dengan produksi sendiri tetapi ada drama yang bagus dan jalan ceritanya menarik, jadi saya ambil.

“Selain itu saya akan menjayakan telefilem terbitan Suhan Movies pada Disember nanti,” katanya.

Serahkan urusan jodoh kepada orang tua

Anak sulung daripada enam beradik ini pantas menjawab apabila diajukan persoalan berkaitan jodoh. Dia tidak sama sekali mengelak atau cuba tukar topik apabila perkara ini diperkatakan.

“Orang tua saya mengerjakan haji tahun ini. Kalau nak tanya soal pasangan hidup, saya sudah minta emak doakan jodoh saya di Tanah Suci Makkah.

“Kalau dia balik dan doanya dimakbulkan, tengoklah siapa yang akan sunting saya sebagai isteri nanti. Itu adalah berkat doa emak dan ayah di sana.

“Sudah tentu mereka berharap saya bertemu jodoh yang baik. Emak memang mahu segera timang cucu tetapi dia faham kerja saya dan sokong,” katanya yang pasang impian untuk menamatkan zaman bujang pada usia 25 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Ogos 2018 @ 8:58 AM