TAMPIL bertenaga meskipun tanpa D.O dan Lay.
TAMPIL bertenaga meskipun tanpa D.O dan Lay.
Oleh Georgie Joseph


MENJADI antara konsert K-Pop paling dinanti tahun ini, EXO Planet #5 - EXplOration in Kuala Lumpur 2019 di Axiata Arena, Bukit Jalil, malam kelmarin membuatkan lebih 10,000 peminat yang hadir ‘histeria’.

Sejak jam 6 petang lagi, lokasi yang dulunya dikenali sebagai Stadium Putra itu sudah gempita dengan jeritan dan sorakan peminat walaupun enam anggota EXO iaitu Baekhyun, Chanyeol, Chen, Kai, Sehun dan Suho belum muncul di pentas.

Sebaik muncul, seluruh penonton memberikan jeritan paling luar biasa menandakan betapa mereka menanti kumpulan itu.

Ternyata masing-masing merindui EXO yang tidak dinafikan antara penghibur terbaik dari Korea Selatan.

Tiada apa yang boleh disangkal mengenai kehebatan luar biasa mereka apabila menyentuh cara menakluk pentas.

Bahkan, EXO tampak semakin matang dan lebih jauh selesa dengan corak persembahan yang santai.

Walaupun hadir berenam tanpa D.O dan Lay yang menjalani latihan khidmat ketenteraan, ia langsung tidak menjadi kekurangan buat mereka tampil dengan persembahan mantap. Sebaliknya, tenaga yang disalurkan berjaya membawa persembahan mereka ke tahap lebih mengagumkan.

Menyanyikan lebih 25 lagu, aspek kreatif yang mereka tunjukkan perlu dipuji. Jelas EXO, berlatih bersungguh-sungguh dalam semua aspek termasuk stamina, vokal, cara berinteraksi dan elemen komedi di pentas.

LEBIH 10,000 peminat ‘serbu’ EXO.
LEBIH 10,000 peminat ‘serbu’ EXO.

Daripada lagu rancak ke balada, semuanya mereka lakukan dengan begitu cemerlang. Walaupun banyak melakukan tarian, ia langsung tidak menggugat vokal mereka.

Malah, tarian yang ditunjukkan juga menampakkan mereka berada di tahap lebih hebat berbanding sebelum ini. Setiap pergerakan mereka padu dan menarik.

Tidak hairanlah penonton begitu teruja menantikan persembahan untuk setiap lagu mereka. Jeritan demi jeritan kedengaran bukti betapa penonton sangat kagum dan terhibur.

Apa yang pasti, semua anggotanya juga teruja untuk kembali beraksi di sini. Bagi mereka, peminat di Malaysia semestinya antara yang terbaik di dunia.

Menjayakan konsert di sini buat kali ketiga, menurut Suho, mereka sentiasa terharu dan tersentuh dengan sokongan tidak berbelah bagi daripada peminat Malaysia.

“Sudah lama rasanya kami tidak berkunjung ke sini dan sangat rindukan anda. Terima kasih tidak terhingga kerana sentiasa bersorak untuk kami tanpa rasa penat.

“Kami sangat hargai sokongan anda. Anda semua adalah antara peminat kami yang sangat setia dan paling kuat bersorak untuk kami,” katanya.

Kumpulan itu ternyata tidak mensia-siakan peluang untuk melepaskan kerinduan terhadap peminat di sini. Perkara itu terserlah apabila mereka cuba menghiburkan penonton di setiap penjuru pentas.

Semangat mereka mahu menghiburkan semua jelas begitu tinggi. Lantas, ia pastinya meninggalkan impak dan kenangan yang sangat indah terhadap setiap penonton pada konsert itu.

Paling menarik adalah apabila setiap anggota berpeluang untuk menonjolkan diri menerusi persembahan solo mahupun berdua. Pada segmen itu, masing-masing nampaknya berjaya menunjukkan sisi berbeza.

Chen misalnya berjaya mengagumkan semua dengan vokal cemerlangnya dan emosi yang begitu mendalam menerusi persembahan lagu Lights Out.

DARI kiri: Chanyeol, Baekhyun, Suho, Kai, Chen dan Sehun.
DARI kiri: Chanyeol, Baekhyun, Suho, Kai, Chen dan Sehun.

Chanyeol dan Sehun pula cukup bijak mencuit penonton seperti duduk di bucu pentas depan peminat.

Tidak terkecuali, prop dan set konsert kali ini juga jelas bertaraf dunia. Contohnya lava gunung berapi di bucu pentas dan lampu kelip-kelip yang turun naik di bahagian pentas kedua.

EXO mempersembahkan lagu Tempo, Transformer, Gravity, 24/7, Love Shot, Ooh La La La, Monster, Oasis, Been Through, Lights Out, What A Life, dan Closer To You.

Tidak ketinggalan, Falling For You, Wait, Power, Confession, Bad Dream, Damage Short, Growl, Overdose, Call Me Baby, Unfair, On The Snow, dan Smile on My Face.

Terdahulu, peminat tegar kumpulan EXO sudah tidak sabar menantikan kemunculan mereka sejak mengumumkan bakal muncul dengan album baharu berjudul Obsession awal November lalu.

Obsession adalah buah tangan terkini EXO selepas Don’t Mess Up My Tempo yang dihasilkan pada November tahun lalu. Album itu berjaya menduduki tangga ke-23 carta Billboard.

Bagaimanapun, album itu cuma menampilkan enam anggotanya iaitu Suho, Chen, Chanyeol, Sehun, Baekhyun dan Kai. Xiumin dan D.O ketika ini sedang menjalani khidmat ketenteraan manakala Lay fokus mengukuhkan karier solonya di China.

Sempena kemunculan semula itu EXO mempersiapkan diri dengan konsert siri jelajah bagi mengubat kerinduan peminat dan akan menjadi platform mereka untuk memperkenalkan album terbaharu itu.

Konsert EXO Planet #5 - EXplOration in Kuala Lumpur 2019 kali ini dianjurkan Star Planet bersama GETBATS.

Lebih 10,000 tiket terjual untuk konsert keempat mereka di sini itu selepas berkunjung buat kali pertama pada 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Disember 2019 @ 5:30 AM