GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Rosli Ilham


PENUNGGANG motosikal maut selepas terlanggar lembu di Kilometer 19, Jalan Paka-Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS) , dekat Bukit Sejuk Dungun, malam tadi.

Dalam kemalangan 9.45 malam, Sukri Omar 44, yang beralamat di Kampung Durian Kasim, Ajil, Hulu Terengganu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan kecemasan di Hospital Dungun, 3.54 pagi tadi.

Kejadian itu dipercayai berlaku apabila motosikal yang ditunggang mangsa dari arah AMBS merempuh lembu melintas di situ.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, mangsa dikatakan dalam perjalanan dari Ajil untuk ke rumah abangnya yang tinggal di Ketengah Jaya.

Menurutnya, mangsa yang parah di bahagian kepala dikejarkan ke Hospital Dungun, namun disahkan meninggal dunia ketika diberi rawatan kecemasan.

“Jenazah mangsa dibawa ke Bilik Forensik hospital terbabit untuk siasatan lanjut dan keluarganya sudah menuntut jenazahnya untuk dikebumikan di Ketengah Jaya,” katanya.

Sementara itu, abang mangsa, Mat Nawi Omar, 58, berkata, kejadian menimpa adiknya itu dimaklumkan seorang rakan, sebelum dia bergegas ke lokasi kejadian.

“Apabila saya sampai, adik dah dibawa ke Hospital Dungun dan saya terus ke hospital. Ketika itu adik dalam keadaan nazak sebelum meninggal, “katanya.

Menurutnya, lokasi kejadian itu sering menjadi tempat lembu berkumpul dan melintas serta pernah berlaku kemalangan maut akibat lembu melintas, baru-baru ini.

Dalam kemalangan pada 12 Januari lalu, Zahawi Ngah, 59, turut meninggal dunia selepas mengelak sekumpulan lembu melintas di tempat sama sebelum motosikalnya bertembung dengan teksi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 January 2019 @ 12:59 PM