Mohd Azam Shah Yaacob


JENAZAH tiga beranak rakyat Malaysia yang maut dalam kemalangan di Kaikoura, New Zealand, kelmarin dijangka dikebumikan di Christchurch, esok.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di New Zealand, Nur Izzah Wong Mee Choo berkata, urusan pengebumian tiga jenazah berkenaan kini sedang dibuat.

Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand turut mengesahkan identiti mereka yang maut iaitu suami isteri Adanan Jemain, 49, dan Dr Rumihati Abd Hamid, 49, serta anak mereka Nuraleeyah Maisarah Arifah, 13.

“Jenazah tiga mangsa akan dikebumikan di Christchurch sebagaimana permintaan keluarganya yang tiba di New Zealand, hari ini.

“Suruhanjaya Tinggi Malaysia kini sedang membantu urusan pengebumian ketiga-tiganya yang dijangka dibuat esok,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga akan memberi bantuan serta memantau keadaan dua lagi mangsa yang kritikal iaitu Nur Irfan, 15, yang kini dirawat di Hospital Christchurch dan Nur Arifah, 12, yang dirawat di Hospital Wllington.

Hari ini, keluarga mangsa selamat tiba di Christchurch dan dibawa ke hospital bagi melakukan pengecaman identiti serta melawat Nur Irfan.

Mereka juga akan dibawa melawat Nur Arifah di Hospital Weelington.

Kelmarin, tiga rakyat Malaysia dilaporkan meninggal dunia manakala dua lagi parah ketika ketika bercuti di negara berkenaan.

Mereka sekeluarga yang menaiki kereta sewa terbabit kemalangan dengan lori di Lebuhraya Negeri 1, Kaikoura pada 3.10 petang, Jumaat waktu tempatan (10.10 pagi waktu Malaysia).

Berita berkaitan:

  • Keluarga mangsa kemalangan tiba di New Zealand
  • Rumihati adalah doktor kami [METROTV]
  • Mahu kebumi 3 beranak di Christchurch
  • Wisma Putra sah mangsa sekeluarga
  • 3 warga Malaysia maut kemalangan di New Zealand
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Disember 2019 @ 12:50 PM