Gambar tular graduan UA yang melakukan tabik Nazi ketika majlis konvokesyen universitinya minggu lalu. Foto Ihsan Pembaca
Gambar tular graduan UA yang melakukan tabik Nazi ketika majlis konvokesyen universitinya minggu lalu. Foto Ihsan Pembaca
Mohd Azam Shah Yaacob


KEDUTAAN Jerman di Malaysia mengutuk tindakan seorang graduan Universiti Awam (UA) negara ini yang melakukan tabik Nazi ketika majlis konvokesyen minggu lalu.

Dalam kenyataan medianya hari ini kedutaan itu berkata, pihaknya terkejut dengan tindakan graduan lelaki itu terutama apabila mengingati kekejaman dilakukan rejim Nazi ketika Perang Dunia Kedua.

“Ketika Perang Dunia Kedua, rejim Nazi bertanggungjawab melakukan penghapusan etnik dan menyebabkan kesengsaraan kepada mangsanya.

“Pihak kedutaan mengutuk sebarang tindakan yang menunjukkan sokongan kepada rejim Nazi dan berharap Malaysia serta pihak universiti melakukan perkara yang sama,” katanya.

Sementara itu, UMS dalam kenyataannya pula memaklumkan bahawa perbuatan graduan itu adalah tindakan peribadi dan tidak mencerminkan pendirian mahupun pandangan UMS.

Menurutnya, UMS kesal dengan tindakan graduan terbabit yang memuat naik gambar melakukan tabik Nazi ketika di atas pentas konvokesyen menerusi akaun media sosialnya.

“Semua graduan dimaklumkan tatacara istiadat konvokesyen dan diingatkan agar memandang ke arah kamera selepas mengambil skrol.

“Pada kesempatan itulah graduan terbabit berhenti dan membuat gerakan tangan seolah-olah seperti melambai kepada audiens.

“Graduan itu kemudiannya menggunakan gambar berkenaan dan memuat naik status ke akaun media sosialnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 November 2019 @ 9:45 PM