AVATAR wajah graduan dipaparkan pada skrin  robot. FOTO Agensi
AVATAR wajah graduan dipaparkan pada skrin robot. FOTO Agensi
Agensi

TOKYO: Ancaman wabak koronavirus baharu (Covid-19) memberi ilham kepada sebuah institusi pengajian tinggi di Jepun, The Business Breakthrough (BBT) University mengadakan majlis konvokesyen dengan bantuan robot.

Portal Ladbible melaporkan, majlis itu berlangsung di Hotel Grand Place di Choyada, Sabtu lalu dengan setiap graduan hanya perlu menggerakkan robot dengan alat kawalan jauh bagi mewakili mereka untuk mengambil skrol daripada tetamu kehormat.

Menariknya, ciptaan robot itu dilengkapi dengan empat roda bagi memudahkannya bergerak dan turut dipakaikan jubah graduan ketika majlis berkenaan.

Terdapat juga skrin di bahagian kepala memaparkan avatar atau gambar graduan yang menerima skrol.

Dilaporkan seramai empat graduan menggunakan khidmat robot itu bagi mengambil skrol daripada Presiden Universiti, Omae Kenichi.

Manakala, graduan lain menyertai majlis itu menerusi panggilan video dan aplikasi Zoom.

Salah seorang graduan berkata, dia tidak menyangka akan menggunakan khidmat robot pada hari bersejarah itu.

Difahamkan, majlis konvokesyen inovatif itu diadakan hasil cetusan idea Dekan Pentadbiran Perniagaan Global ,Profesor Shugo Yanaka.

“Ketika wabak (Covid-19) ini masih menular, penggunaan avatar adalah bertepatan bagi menghangatkan majlis konvokesyen secara dalam talian.

“Kami berharap inisiatif ini membantu institusi pengajian yang berdepan masalah untuk meneruskan majlis konvokesyen,” katanya .

Menurut rekod, BBT University bukan institusi pengajian pertama yang menggunakan kaedah itu sebaliknya University Glasgow pernah membenarkan tiga pelajarnya meraikan majlis konvokesyen hanya dengan menggunakan tablet iPad.

KHIDMAT robot digunakan graduan BBT University di  Jepun untuk mengambil skrol. FOTO Agensi
KHIDMAT robot digunakan graduan BBT University di Jepun untuk mengambil skrol. FOTO Agensi

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2020 @ 3:03 PM