BERNAMA

RAKYAT Malaysia lemas ketika melakukan aktiviti snorkeling di Pulau Poda, Ao Nang, Wilayah Krabi, Thailand hari ini.

Dalam kejadian 9 pagi (waktu tempatan), mangsa, Muhamad Hafizee Supie, 25, juruteknik dari Ledang, Johor, melancong ke Pantai Ao Nang bersama rakan sekerjanya.

Pegawai Penyiasat Pejabat Polis Daerah Ao Nang, Kapten Nakorn Chartthai berkata, pasukan sukarelawan yang berada di tempat kejadian memberi bantuan pernafasan (CPR) terhadap mangsa namun gagal.

“Mangsa dikejarkan ke Hospital Krabi pada 10 pagi dan disahkan meninggal dunia 12.20 tengah hari (waktu tempatan),” katanya hari ini.

Jenazah kini ditempatkan di Hospital Krabi sebelum dibawa pulang ke Malaysia.

Sementara itu, kakak tiri mangsa, Siti Saadiyah Ismail berkata, Muhamad Hafizee, anak kelima daripada enam beradik adalah juruteknik di sebuah syarikat di Kuala Lumpur.

“Muhamad Hafizee mengikuti rombongan syarikat ke Krabi dengan menaiki bas Khamis lalu dan dijangka pulang ke Malaysia Selasa ini.

“Kami dimaklumkan kejadian itu oleh rakan sekerjanya 4 petang (waktu Malaysia),” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, keluarga sedang berurusan dengan wakil Konsulat Malaysia di Songkhla untuk membawa balik jenazah Muhamad Hafizee ke Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Oktober 2019 @ 12:14 AM