AKTIVITI memanjat di Gua Phra Nang atau dikenali sebagai Pulau Kekasih oleh masyarakat tempatan.
AKTIVITI memanjat di Gua Phra Nang atau dikenali sebagai Pulau Kekasih oleh masyarakat tempatan.
AKTIVITI menaiki gajah di pinggir Bandar Krabi kira-kira 30 minit dari bandar Ao Nang menjadi tarikan.
AKTIVITI menaiki gajah di pinggir Bandar Krabi kira-kira 30 minit dari bandar Ao Nang menjadi tarikan.
PERKHIDMATAN bot yang disediakan untuk pelancong melawat pulau di Krabi.
PERKHIDMATAN bot yang disediakan untuk pelancong melawat pulau di Krabi.
ANTARA pulau di Krabi.
ANTARA pulau di Krabi.
AKTIVITI menyelam sambil melihat ikan berhampiran dengan Pulau Ayam menjadi tarikan.
AKTIVITI menyelam sambil melihat ikan berhampiran dengan Pulau Ayam menjadi tarikan.
Norul Awatif Romli


Keindahan laut dan pantai di Krabi menggamit memori bagi mereka yang mencintai alam semula jadi. Percutian ke selatan Thailand ini atau lebih dikenali dengan gelaran bandar ketam tidak sah jika tidak merasai pelbagai aktiviti air yang menyeronokkan. Ikutilah rentetan perjalanan wartawan Norul Awatif Romli () ke Krabi bersama pihak UUM (Universiti Utara Malaysia).

Selain Phuket dan Koh Sa Mui wilayah Krabi antara destinasi percutian popular rakyat negara ini apabila berkunjung ke negara Gajah Putih itu. Berkesempatan mengikuti lawatan sempena Discover UUM (Universiti Utara Malaysia) 2016 selama tiga hari dua malam, baru-baru ini, ternyata memberi pengalaman luar biasa kepada penulis yang baru kali pertama menjejakkan kaki ke sana.

Dibantu seorang pemandu pelancong, Abdullah Yeepanoh, kumpulan kami dibawa menjelajah ke bandar itu dan pulau menarik, sekali gus membuka mata untuk berkunjung semula ke bandar ketam itu suatu masa kelak.

Aktiviti bermula pada hari kedua selepas hari pertama kami hanya menghabiskan masa di dalam van pelancong merentasi perjalanan lebih lima jam sejauh lebih 330 kilometer (km) berikutan hujan lebat dan angin kencang.

Kami mendaftar bilik hotel di Ao Nang, Krabi sebelum melakukan aktiviti bebas selepas makan malam, namun dinasihatkan mendapatkan rehat mencukupi bagi mengharungi hari panjang dan lasak di tengah laut pada keesokan hari.

Seawal jam 7.30 pagi (waktu tempatan) semua ahli kumpulan berkumpul di lobi hotel sebelum berangkat ke jeti Ao Nang menaiki bot kayu disewa khas bagi membawa hampir 20 pengamal media daripada pelbagai agensi.

Menurut Abdullah, terdapat lebih 100 pulau menarik di Krabi, namun tidak semua boleh diterokai berikutan faktor jarak, masa dan keselamatan. Disebabkan itu, agensi pelancongan hanya menyiapkan beberapa pakej pulau ke pulau yang sesuai dengan jarak antara satu sama lain bersama pengalaman aktiviti di air seperti snorkeling dan menyelam.

Pemandu pelancong membawa kumpulan media ke empat pulau dikenali sebagai Pulau Tup, Pulau Ayam, Gua Phra Nang dan Pulau Poda.

Namun, kumpulan penulis tidak bertuah kerana cuaca tidak mengizinkan berikutan hujan lebat disertai angin kencang dan ombak kuat. Mengharungi ombak mengganas di tengah laut ketika hujan bukanlah pengalaman yang boleh dibanggakan kerana saat itu juga penulis merasakan seolah-olah sudah hampir dengan kematian.

Ditambah pula, kami hanya menaiki bot kayu dan bukan bot laju menyebabkan semua penumpang merasai saat-saat bot terumbang-ambing dibadai ombak. Pada masa sama, hati penulis terdetik akan nasib si pelaut dan nelayan yang memilih lautan sebagai punca rezeki.

Bagaimanakah perasaan mereka apabila setiap hari terpaksa melalui pengalaman seperti itu demi sesuap nasi sedangkan penulis dan rakan merasai pengalaman seperti itu kurang sejam, ada yang muntah dan sakit kepala.

Walaupun cuaca tidak mengizinkan, kami masih bertuah kerana berkesempatan singgah ke dua pulau iaitu Gua Phra Nang atau dikenali dengan nama Pulau Kekasih sebelum menyusuri Pulau Ayam.

Di Gua Phra Nang, kami menyaksikan aktiviti memanjat dinding yang didominasi pelancong Barat selain melihat pelbagai replika alat sulit lelaki yang menjadi simbolik kepada pulau berkenaan.

Walaupun tidak dapat singgah ke Pulau Tup dan Pulau Poda, kesempatan tetap diberi bagi merasai pengalaman snorkeling berhampiran Pulau Ayam, iaitu antara aktiviti paling dinantikan sekiranya berada di lautan.

Kejernihan air di pulau itu ternyata menggamit hati penulis untuk melakukan snorkeling sambil memberi makan roti kepada pelbagai spesies ikan yang berenang bebas sekali gus dapat dilihat dengan jelas dari permukaan laut.

Aktiviti snorkeling mengambil masa lama kerana semua orang leka menghayati panorama indah di lautan sambil bermain dengan ikan yang berkerumun di badan masing-masing.

Selepas hampir satu jam berada di pulau itu, Abdullah mengajak kami ke pinggir pantai tidak jauh dari lokasi snorkeling untuk menikmati bekalan makan tengah hari sebelum bertolak balik ke daratan berikutan hujan renyai.

Aktiviti di sebelah petang dan malam terpaksa dibatalkan berikutan hujan lebat, namun kami dibawa ke Restoran Hasna terletak di Ao Nang bagi menikmati makan malam yang sungguh menyelerakan.

Tidak sah jika tidak mencuba hidangan wajib masyarakat Thailand iaitu tomyam merah, di samping cuaca hujan lebat membangkitkan lagi selera makan ahli kumpulan yang keletihan selepas mengharungi aktiviti siang hari yang memenatkan.

Di restoran itu, penulis berpeluang mencuba hidangan pankek dengan pelbagai perisa yang menjadi kegemaran masyarakat di sana.

Kami memilih pankek berperisa coklat, pisang dan jem sebagai pencuci mulut dan bagi penulis hidangan ringkas menyerupai roti canai Malaysia itu sesuai dimakan ketika masih panas bersama kopi atau teh tarik.

Pada hari terakhir di Krabi, kami dibawa pula ke Safari Gajah di pinggir bandar Krabi yang mengambil perjalanan kira-kira 30 minit dari Ao Nang bagi merasai pengalaman menaiki gajah.

Walaupun itu kali kedua pengalaman penulis menaiki gajah, kesempatan tidak sampai 20 minit duduk di atas gajah bernama Malik tetap mendebarkan kerana hujan menyebabkan struktur tanah licin.

Apabila hujan lebat, kami terpaksa berpatah balik ke pondok pendaftaran atas faktor keselamatan, namun beberapa rakan media meneruskan perjalanan kerana sudah bergerak jauh.

Walaupun terpaksa bermandi hujan sepanjang tiga hari berada di Krabi, namun benar kata orang hidup hanya sekali dan rugi jika kita tidak menikmati setiap masa yang dilalui.

Merugikan juga jika penulis mensia-siakan waktu percutian selama tiga hari tanpa memikirkan soal kerja atau kesibukan tugas buat seketika dengan menghayati kedamaian pulau dan alam semula jadi di Krabi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Jun 2016 @ 5:01 AM