FOTO hiasan
FOTO hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


HANYA perselisihan kecil, seorang juruteknik maut ditikam dengan pisau di leher oleh seorang lelaki di padang Taman Prima, Selayang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, anggota polis bertugas di Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak menerima panggilan daripada seorang wanita mengenai satu pergaduhan di lokasi jam 7.27 pagi.

Menurutnya, anggota unit peronda polis (MPV) kemudian dikejarkan ke lokasi kejadian di mana siasatan awal mendapati pergaduhan berpunca akibat perselisihan faham.

“Ketika kejadian, mangsa berusia 23 tahun dan rakan didatangi suspek berusia 27 tahun sebelum berlaku pertengkaran antara mereka.

“Saksi kejadian memaklumkan, suspek kemudian mengeluarkan pisau dan terus menikam leher mangsa menyebabkan lelaki terbabit rebah.

“Dia kemudian dibantu orang awam membawanya ke Hospital Selayang,” katanya.

Samsor berkata, suspek ditahan orang ramai di lokasi kejadian manakala beberapa rakan suspek melarikan diri.

“Anggota MPV yang tiba di tempat kejadian membawa suspek ke IPD Gombak untuk siasatan lanjut.

“Polis turut menemui pisau dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

“Mangsa yang tidak sedarkan diri akibat parah di leher disahkan meninggal dunia jam 10.15 pagi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek memiliki tiga rekod kesalahan lampau berkaitan kesalahan dadah dan satu kesalahan jenayah.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Suspek akan direman esok bagi membantu siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 September 2019 @ 10:21 PM