GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Ampang Jaya: Perselisihan faham dipercayai menjadi punca pergaduhan sekumpulan lelaki di Pandan Mewah di sini, Sabtu lalu, sehingga rakaman kejadian insiden itu tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, susulan insiden itu, polis menahan tujuh lelaki berusia 19 hingga 43 tahun di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, kira-kira 11 malam Isnin lalu, bagi membantu siasatan.

"Kejadian berlaku 5 pagi Sabtu lalu ketika seorang penuntut lelaki berusia 21 tahun bersama rakannya dipukul sekumpulan lelaki yang melepak di kawasan lapang di lokasi kejadian.

"Unit Kereta Peronda Polis (MPV) datang ke lokasi kejadian, bagaimanapun suspek melarikan diri ke flat berdekatan. Siasatan lanjut membolehkan suspek berjaya ditahan Isnin lalu," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Mohd Azam berkata, hasil ujian air kencing mendapati dua suspek positif dadah methamphetamine, ampethamine dan benzo.

"Semakan mendapati seorang suspek mempunyai lima rekod lampau termasuk masih dikehendaki atas kesalahan dadah dan tiga lagi suspek mempunyai satu rekod lampau jenayah.

"Enam daripada mereka direman dua hari sehingga kelmarin manakala seorang lagi direman sehari," katanya.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2024 @ 6:40 PM