PISAU dan kuku kambing yang dirampas daripada empat lelaki dipercayai terbabit dengan insiden pergaduhan di Taman Ungku Tun Aminah. FOTO ihsan Polis
PISAU dan kuku kambing yang dirampas daripada empat lelaki dipercayai terbabit dengan insiden pergaduhan di Taman Ungku Tun Aminah. FOTO ihsan Polis
Mohd Sabran Md Sani


EMPAT lelaki ditahan selepas dipercayai terbabit dengan insiden pergaduhan bersenjatakan pisau dan besi kuku kambing di Taman Ungku Tun Aminah, Johor Bahru, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU) Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, semua suspek berusia 32 hingga 41 tahun ditahan anggota unit kereta peronda(MPV) pada 11.57 malam.

Katanya, tindakan menahan semua suspek susulan aduan diterima Pusat Kawalan Daerah IPD JBU berhubung pergaduhan di Blok 55, Jalan Pendekar 1, Taman Ungku Tun Aminah, Skudai.

“Anggota MPV bertugas kemudian menghala ke lokasi kejadian dan rakaman percakapan awal anggota menyatakan tidak ternampak pergaduhan tetapi empat lelaki sedang berkumpul dan memiliki senjata.

“Anggota terbabit kemudian menangkap empat individu itu kerana disyaki bergaduh dan memiliki senjata,” katanya.

Katanya, siasatan mendapati semua suspek berkumpul dan ingin bergaduh, namun sempat dileraikan anggota MPV.

“Siasatan lanjut, polis percaya punca utama pergaduhan adalah akibat salah faham,” katanya.

Beliau berkata, selain menahan suspek, pihaknya merampas senjata digunakan.

“Semua tangkapan direman hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana bergaduh yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 6(1) dan Seksyen 8 Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan Dan Senjata Berbahaya 1958 (ABKLSB),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2019 @ 1:51 PM