ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan dua mangsa dalam sebuah Proton Preve yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 38.2 Lebuhraya Utara Selatan, semalam. FOTO IHSAN BOMBA
ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan dua mangsa dalam sebuah Proton Preve yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 38.2 Lebuhraya Utara Selatan, semalam. FOTO IHSAN BOMBA
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Pasangan suami isteri maut selepas kereta dinaiki terbabit dalam kemalangan membabitkan lori satu tan di Kilometer 38.2, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, kejadian itu dipercayai berpunca akibat tayar lori itu pecah secara tiba-tiba menyebabkan pasangan suami isteri itu maut.

Beliau berkata, pihak polis menerima maklumat mengenai kejadian itu sekitar jam 6.29 petang.

"Hasil siasatan awal mendapati lori berkenaan berada di lorong kiri manakala kereta Proton Preve itu pula di lorong kanan.

"Namun secara tiba-tiba, tayar belakang sebelah kiri lori itu pecah menyebabkannya hilang kawalan hingga berlanggar dengan Proton Preve terbabit.

"Susulan daripada itu, kereta Proton Preve itu terbabas ke kiri lalu melanggar pokok," katanya di sini, hari ini.

Ahmad Shukri berkata, pemandu kereta iaitu seorang wanita berusia 31 tahun manakala penumpang lelaki berumur 35 tahun disahkan maut di lokasi kejadian oleh pasukan paramedik.

Beliau berkata, pemandu lori itu turut mengalami kecederaan di kepala dan telah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini untuk menerima rawatan.

"Jenazah kedua-dua mangsa turut dihantar ke Jabatan Forensik hospital sama untuk dibedah siasat.

"Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Bustan Karudin berkata, kedua-dua mangsa yang maut didapati tersepit dalam kereta terbabit

Katanya, pihak bomba terpaksa menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa sebelum jenazah kedua-dua mereka diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mac 2023 @ 3:44 PM