Zuliaty Zulkiffli


LELAKI sanggup menggunakan wang Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang baru diperoleh semalam semata-mata untuk membeli dadah.

Lelaki berusia 24 tahun itu bagaimanapun ditahan polis dalam pemeriksaan di persimpangan lampu isyarat Jalan Pantai Johor ke Gunung Keriang, Alor Setar, pada 11 malam tadi ketika baru membeli dadah.

Turut ditemui, satu paket dadah dipercayai syabu seberat lima gram dianggarkan bernilai RM450 dan sebotol air ketum.

Hasil siasatan polis juga mendapati, suspek pernah mempunyai rekod kesalahan dadah dan baru enam bulan keluar penjara.

Dalam pemeriksaan di lokasi itu juga polis turut menahan seorang lelaki berusia 34 tahun dan menemui sebuah motosikal curi jenis Honda yang dilaporkan hilang di Kubang Pasu serta sebilah pisau.

Hasil semakan rekod juga mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau iaitu dua kes memiliki dadah dan satu kes disyaki penagih.

Dalam pada itu, seorang pelajar lelaki berusia 19 tahun ditahan anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang berjaya mengejarnya sejauh 1.5 kilometer selepas cuba merempuh sekatan polis di lokasi.

Remaja itu dikatakan memecut motosikal Yamaha 125z yang ditungganginya sebelum terbabas dan berjaya ditahan polis.

Hasil soal siasat mendapati suspek mendakwa panik melihat polis melakukan sekatan di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, dalam sekatan yang dilakukan malam tadi, seramai 17 orang ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan.

Beliau berkata, 14 daripadanya ditahan kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dua lagi ditahan masing-masing berkaitan dadah dan kes curi motosikal manakala seorang remaja pula cuba merempuh polis di sekatan.

“Operasi bermula jam 10.30 malam hingga 1 pagi yang disertai tiga pegawai dan 21 anggota dari Balai Polis Alor Setar, Balai Polis Anak Bukit, satu pasukan Cantas dari Bahagian Siasatan Jenayah dan satu pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik.

“Sekatan pemeriksaan dilakukan berikutan maklumat awam diterima mengatakan laluan itu dianggap selamat oleh penunggang motosikal dan pemandu kereta ketika PKP,” katanya.

Mohd Rozi berkata, kesemua 14 individu yang ditahan di bawah PKP akan disiasat mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan Peraturan 11 (1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

POLIS menahan lelaki bersama dadah dan air ketum yang dibawa bersama di sekatan pemeriksaan di persimpangan lampu isyarat Jalan Pantai Johor ke Gunung Keriang, malam tadi. FOTO Zuliaty Zulkiffli
POLIS menahan lelaki bersama dadah dan air ketum yang dibawa bersama di sekatan pemeriksaan di persimpangan lampu isyarat Jalan Pantai Johor ke Gunung Keriang, malam tadi. FOTO Zuliaty Zulkiffli

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2020 @ 9:55 AM