FILEM

PUNTIANAK adalah subjek entiti mistik yang digemari pembikin filem di rantau Nusantara ini. Malah, sejak zaman sebelum merdeka lagi filem mengenai puntianak sudah dihasilkan.

Sambutan hangat diberikan peminat terhadap filem seram menampilkan puntianak ini juga menyebabkan ia menjadi pilihan penerbit dan pengarah.

Terbaru produksi dari Singapura, Tiger Tiger Pictures tidak ketinggalan memilih puntianak sebagai subjek utama untuk ditampilkan dalam filem berjudul Dendam Pontianak edaran Primeworks Studios.

Ia menggabungkan pelakon berbakat besar seperti Fazura, Remy Ishak, Hisham Hamid, Shenty, Nam Ron, Tony Eusoff, Wan Hanafi Su, Nadia Aqilah dan Nik Harraz Danish.

Mungkin ramai peminat mengharapkan filem arahan bersama Glen Goei dan Gavin Yap ini akan memaparkan kejutan dengan kesan bunyi serta paparan puntianak yang menimbulkan ketakutan buat penonton.

Jika itu yang diharapkan, penonton pasti kecewa kerana filem yang sudah ditayangkan sejak Khamis lalu ini dihasilkan berdasarkan kisah hidup wanita bernama Mina yang tragis.

Mengambil subjek kehidupan manusia yang melalui penderitaan sehingga kesakitan dirasai walaupun jasad sudah tidak bernyawa membuatkan Dendam Pontianak penuh elemen drama.Kekuatan filem ini juga bergantung kepada permainan emosi pelakonnya yang jelas berjaya dilaksanakan dengan baik.


Lakonan dan penghayatan watak antara satu sama lain juga dilihat seimbang membuatkan cerita ini berjalan dengan kemas.

Walaupun Dendam Pontianak digarap secara ‘non-linear’, tetapi ia bergerak pantas dan mudah difahami.

Kekuatan filem ini juga bergantung kepada pengarahan seninya yang cantik dan indah, apatah lagi Dendam Pontianak berlatarkan era 1950-an dan 1960-an.

Dari sudut itu, pengarahnya dilihat sangat teliti dan susah untuk kita mencari kecacatan yang kemungkinan muncul dalam babak.

Dendam Pontianak mengisahkan Khalid dan Siti berdepan dengan anasir jahat selepas bernikah. Ia turut mengganggu gugat masyarakat kampung tempat mereka menetap.

Berlaku kematian dan kejadian misteri yang mencetuskan ketakutan dan kekecohan dalam kalangan penduduk kampung.

Kejadian itu memaksa Khalid untuk mengaku dia membunuh seorang wanita mengandung 10 tahun lalu.

Wanita bernama Mina itu kembali sebagai puntianak untuk membalas dendam dan menuntut haknya.

• FILEM: Dendam Pontianak

• PENGARAH: Glen Goei dan Gavin Yap

• PELAKON: Nur Fazura sebagai Mina, Remy Ishak (Khalid), Hisham Hamid (Reza), Shenty Feliziana (Siti), Nam Ron (SuutDin), Tony Eusoff (Rais), NadiahM Din (Aisha), Wan Hanafi Su(Penghulu), Nadia Aqilah (Ida) dan Nik Harraz Danish (Nik)

• GENRE: Drama seram

• TAYANGAN: 12 September2019

• ULASAN: Rudy Imran Shamsudin

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 September 2019 @ 5:05 AM