Mangsa maut di lokasi kejadian. FOTO ihsan bomba
Mangsa maut di lokasi kejadian. FOTO ihsan bomba
Ekhwan Haque Fazlul Haque


LELAKI maut digilis selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan lori di Jalan Nyabau berdekatan persimpangan Jalan Bintulu-Miri di Bintulu, petang hari ini.

Kemalangan kira-kira 4 petang itu menyebabkan Sim Kui Choor, 57, cedera parah di kepala dan badan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, berdasarkan maklumat awal, mangsa dalam perjalanan dari Bintulu menuju ke Miri.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikal sebelum bertembung dengan lori dari arah bertentangan.

"Akibat rempuhan itu, mangsa diseret beberapa meter sebelum lori berkenaan berhenti selepas pemandu menyedari kejadian itu.

"Pengguna jalan raya yang melalui jalan berkenaan menghubungi bomba untuk tindakan selanjutnya," katanya, hari ini.

Katanya, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu dikejarkan ke lokasi kejadian untuk operasi mengeluarkan mangsa dari bawah lori.

Beliau berkata, pasukan perubatan yang dipanggil mengesahkan mangsa maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan badan.

"Mayat diserahkan kepada polis untuk dibawa ke Hospital Bintulu untuk bedah siasat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Ogos 2017 @ 9:10 PM