KAMARUDDIN parah ditetak dua lelaki tidak dikenali di Kota Bharu. FOTO Ihsan Pembaca
KAMARUDDIN parah ditetak dua lelaki tidak dikenali di Kota Bharu. FOTO Ihsan Pembaca
Muhamaad Razis Ismail


TIMBALAN Pengerusi Veteran UMNO Kelantan, Datuk Kamaruddin Abdullah parah selepas ditetak dua lelaki di hadapan kedai makan di Jalan Tengku Chik, Kota Bharu, malam tadi.

Dalam kejadian 7.30 malam itu, mangsa cedera di pinggang dan kepala dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu, untuk rawatan lanjut.

Pengerusi Veteran UMNO, Datuk Mohd Rozali Isohak berkata, dia difahamkan mangsa baru keluar dari kedai makan untuk ke masjid berdekatan menunaikan solat Maghrib.

Katanya, secara tiba-tiba dua lelaki bermotosikal dan bersenjatakan parang datang menetak mangsa sebelum melarikan diri.

“Mangsa yang rebah kemudiannya dihantar oleh rakan ke hospital. Saya yang terkejut dengan kejadian menimpa Kamaruddin terus bergegas ke hospital untuk melihat keadaannya.

“Dia baru sedar sekejap tadi dan boleh bersalaman dengan saya. Kecederaan yang dialami agak teruk di kepala dan pinggang dan doktor maklumkan, dia perlu menjalani pemeriksaan lanjut ,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Rozali berkata, setakat ini, dia tidak mengetahui punca kejadian itu.

KAMARUDDIN Abdullah parah di pinggang dan kepala selepas ditetak dua lelaki tidak dikenali. FOTO Ihsan Pembaca
KAMARUDDIN Abdullah parah di pinggang dan kepala selepas ditetak dua lelaki tidak dikenali. FOTO Ihsan Pembaca

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Julai 2019 @ 1:02 AM