KAMARUDDIN dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu. FOTO Syamsi Suhaimi.
KAMARUDDIN dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu. FOTO Syamsi Suhaimi.
Siti Nor Hidayatidayu Razali


“AYAH sempat bertanya ‘bakpo buat aku’ (kenapa tetak aku) kepada dua lelaki itu,” kata anak sulung Timbalan Pengerusi Veteran UMNO Kelantan Datuk Kamaruddin Abdullah, 66, yang parah selepas ditetak di hadapan kedai kopi di Jalan Tengku Chik, Kota Bharu, malam semalam.

Dia berusia 40-an dan enggan dikenali menceritakan semula kejadian itu yang menyebabkan bapanya parah di kepala dan pinggang selain luka di tangan dan belakang badan.

Menurutnya, ketika kejadian itu ayahnya baru membuka pintu kereta dan mahu ke Masjid Muhammadi untuk bersolat maghrib.

“Lelaki terbabit memakai topi keledar dan dianggarkan berusia lingkungan 30-an, menyerang ayah dari belakang.

“Tetapi ayah sempat berpaling dan bertanya kenapa dia diperlakukan begitu, tetapi mereka tidak mengendahkannya.

“Ayah menyangka dia hanya cedera di kepala sahaja, sebelum melihat pinggangnya turut terkena tetakan. Serangan itu tidak sampai lima minit pun dan rakan ayah yang berada di dalam kedai kopi membantunya,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Kamaruddin dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan dilapor stabil.

Bercerita lanjut, wanita itu berkata, mereka sekeluarga masih terkejut dengan kejadian yang berlaku kerana ayahnya tidak mempunyai musuh dan lebih banyak menghabiskan masa di Kuala Lumpur, menguruskan perniagaan di sana.

Sementara itu, saksi kejadian yang hanya mahu dikenali Ahmad, 60, berkata, ketika insiden pada 7.30 malam itu, dia sedang membuat pembayaran di kaunter.

“Sebelum itu, Datuk (Kamaruddin) datang ke meja saya untuk minum bersama dan beliau meminta diri ke masjid bagi menunaikan solat Maghrib.

“Ketika mahu membayar, saya lihat Datuk sudah jatuh dan kepalanya berdarah. Saya terus keluar membantunya dan melihat dua lelaki cuba beredar tetapi berpatah balik ke arah Datuk.

“Saya minta mereka bersabar namun mereka mengugut dengan tukul, mungkin mereka tidak mahu saya membantu Datuk,” katanya yang membawa Kamaruddin masuk ke dalam kedai selepas dua lelaki terbabit melarikan diri.

Katanya, ketika itu keadaan Kamaruddin stabil dan boleh bercakap, namun dia tertanya-tanya kenapa dua lelaki itu menetaknya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, pihaknya menerima laporan kejadian dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Berita berkaitan

Veteran UMNO ditetak

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Julai 2019 @ 2:30 PM