WATAK Bakar (kiri) dan Alicia (kanan) antara penggerak utama filem animasi ini.
WATAK Bakar (kiri) dan Alicia (kanan) antara penggerak utama filem animasi ini.
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

KEMAMPUAN 80 pereka animasi dan pelukis grafik tempatan menghasilkan filem Ejen Ali membuktikan Malaysia berada di kelas tersendiri.

Karya animasi tempatan seperti Upin dan Upin serta BoBoiBoy The Movie pernah mendapat perhatian di peringkat antarabangsa sekali gus membawa sinar baharu buat industri perfileman negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar berkata, Malaysia kini menjadi hab animasi menyebabkan pihaknya terpanggil menghasilkan filem berkenaan.

“Kami sudah menghasilkan kartun animasi bersiri Ejen Ali dan berbangga apabila ia difilemkan buat pertama kali.

“Jika diamati filem animasi di negara ini berkembang pesat dan ia mendapat sambutan setiap lapisan masyarakat,” katanya selepas pratonton teaser filem itu di sebuah pusat beli- belah di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Hadir sama pada acara itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Wau Animation, Usamah Zaid Yasin.

Ahmad Izham berkata, penghasilan filem berkenaan menggunakan teknologi digital yang berkualiti tinggi.

Menurutnya, proses suntingan filem itu kini 70 peratus siap dan berbaki 30 peratus untuk ditambah baik.

“Lagu tema untuk filem ini nyanyian Altimate sudah siap dan kami menjangkakan ia menemui penonton pada November depan,” katanya.

Menurutnya, selain tayangan dalam negara, pihaknya dalam perbincangan bersama pihak pawagam untuk tayangan di luar negara seperti Indonesia, Singapura dan Brunei.

AHMAD Izham (kanan) dan Usamah bergambar bersama poster Ejen Ali pada tontonan teaser filem itu.
AHMAD Izham (kanan) dan Usamah bergambar bersama poster Ejen Ali pada tontonan teaser filem itu.

“Selain itu, ada perancangan menghasilkan filem animasi kedua dan harapnya ia berjaya direalisasikan,” katanya.

Sementara itu Usamah berkata, filem animasi aksi dan komedi itu boleh diterima penonton kerana watak dan situasi lakonan bersesuaian dengan keadaan dalam negara.

“Dalam filem ini, Ejen Ali menggunakan gajet dan teknologi baharu yang diyakini mampu menarik perhatian orang ramai terutama kanak-kanak.

“Selain berkisarkan aksi dan komedi, filem ini juga memperkenalkan gaya hidup rakyat Malaysia dan berunsurkan misteri,” katanya.

Menurut Usamah, pihaknya berbesar hati dengan pembikinan filem berkenaan dan mahu mengembangkannya di peringkat global.

“Dalam filem ini, kami menyelitkan karakter baharu dari zaman silam Ejen Ali. Kami ingin bawa penonton menyelami dunia Ejen Ali dengan lebih mendalam apabila memperkenalkan watak MATA (milik agensi pengintip), pelbagai peranti dan kenderaan lebih canggih dalam versi filem,” katanya.

Usamah berkata, pihaknya turut mewujudkan watak antagonis penuh misteri daripada masa silam Ali dan perantis IRIS 2.0. Elemen yang mengujakan dan dilengkapi dengan cerita penuh emosi,” katanya.

Usamah yang juga pengarah filem itu berkata, perancangan membawa karakter animasi ke layar perak diperkukuhkan dengan pelan pemasaran komprehensif.

AKSI comel Ali.
AKSI comel Ali.

“Inisiatif utama pemasaran yang digunakan adalah dengan melancarkan beberapa aplikasi permainan mudah alih, selain tayangan, siaran TV, siri jelajah dan lawatan khas di pawagam.

“Sejajar dengan arus teknologi, kami berhasrat mengeluarkan aplikasi permainan baharu Ejen Ali sebelum filemnya dilancarkan berikutan sambutan memberangsangkan terhadap medium digital.

“Kami turut menerima maklum balas daripada peminat yang menyarankan memperbaiki lagi aplikasi permainan mudah alih Ejen Ali,” kata Usamah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2019 @ 5:00 AM