EZAD Lazim dan Zamani.
EZAD Lazim dan Zamani.
Ridzuan Abdul Rahman


BARANGKALI peminat sudah menikmati lagu berjudul Lima Aksara yang menggandingkan dua penyanyi pop balada popular Ezad Lazim dan Zamani Ibrahim yang dilancarkan secara rasmi di semua platform digital muzik pada Jumaat lalu.

Lagu ciptaan Mulah serta lirik oleh Ahmad Fedtri Yahya itu mempertemukan dua penyanyi yang sudah lama saling mengenali dan berkawan baik.

Ezad berkata, sejak awal mendapat lagu dengan judul asal Aksara itu, dia sudah tertarik dengan melodinya yang indah.

“Ia asalnya untuk projek solo saya di bawah syarikat sendiri iaitu EZ Ventures selepas tamat kontrak dengan MVM awal tahun ini.

“Apabila teliti secara mendalam, rasa rugi pula kalau menyanyikannya secara solo dan ia ibarat biasa-biasa sahaja,” katanya.

Menurutnya, bagi mencari kelainan dia terfikir untuk berduet dengan Zamani.

“Sudah lama saya teringin nak berduet dengan Zamani tetapi tak kesampaian kerana masalah ada kontrak rakaman.

“Apabila tak terikat dengan mana-mana syarikat rakaman, dia masuk Gegar Vaganza 5 dan minta saya tunggu sehingga program ini berakhir,” katanya.

Ezad mengakui hampir putus asa dan kecewa menanti Zamani, namun bersyukur apabila impian itu akhirnya jadi kenyataan.

“Lega kerana Zamani tiba-tiba menghubungi saya sebelum Ramadan lalu untuk meneruskan projek ini.

“Dalam pada itu, saya berurusan dengan Broadway NuMusic bagi menjalinkan kerjasama.

“Asalnya projek ini menggandingkan saya, Zamani dan Amy Search tetapi tak jadi kenyataan kerana kesibukan mereka,” katanya.

Lima Aksara tampil dengan kolaborasi tiga pihak iaitu EZ Ventures, Broadway NuMusic dan ZIME Production.

“Saya tanya Fedtri maksud Aksara dan diberitahu itu adalah huruf.

“Apabila difahami, ceritanya mengenai cinta yang luas definasinya.

“Bagi saya ia boleh dianggap cinta pada Allah dan keinsafan. Ia membawa pengertian yang berbeza bagi setiap individu,” katanya yang tidak mahu lagu ini dilabel sebagai lagu kerohanian.

Ditanya pandangan peribadinya terhadap Zamani, Ezad berkata penyanyi hebat itu rakan yang baik.

“Sesiapa yang berkawan rapat dengan dia akan tahu dia tidak suka mengumpat orang.

“Saya sebenarnya bangga dengan dia kerana nampak dia kembali bersemangat dalam kariernya.

“Selepas GV, auranya menyerlah sehingga dia terfikir untuk tubuhkan syarikat sendiri. Saya pernah melalui situasi getir sepertinya sebelum ini dan kita perlu berikan dia sokongan moral,” katanya.

Ezad menjelaskan mereka tidak terkecuali berdepan kecaman kerana pernah melalui fasa gelap dalam hidup.

“Saya anggap ini sebagai cabaran. Masyarakat tak sepatutnya menuding jari menyalahkan kami tanpa tahu situasi sebenar yang dialami.

“Alhamdulillah, selepas apa yang dialami saya berani katakan bahawa saya sudah pulih dan berani berkongsi dengan masyarakat.

“Jika ada semangat dan kekuatan serta jati diri untuk berubah, kita boleh berubah dan jadi yang terbaik daripada sebelum ini,” katanya.

Bagi Zamani, kepercayaan Ezad terhadapnya dibalas dengan lontaran vokal yang mantap untuk lagu itu.

“Saya mulanya masukkan suara bersama Ezad di studio. Bagaimanapun, dua hari sebelum raya, saya masuk studio semula untuk rakam kembali suara.

“Ia kerana saya mahu kemaskan suara kerana tona nyanyian saya seperti tona Ezad.

“Saya buat perubahan dengan menyanyi ikut tona sendiri. Ezad menyanyi sedap hingga saya terikut-ikut cara nyanyiannya,” katanya.

Zamani berkata, dia perlu bersungguh-sungguh menghasilkan lagu itu agar berjaya dan dapat diterima ramai.

“Saya akan memberikan komitmen terhadap lagu ini termasuk dalam aspek promosi.

“Kalau salah seorang tiada, kami sepakat takkan menyanyikan lagu ini.

“Mungkin akan berlaku kes tawaran sudah diterima tapi saya sakit dan tak dapat hadir. Itu isu terpencil kerana saya takkan sengaja nak buat begitu. Ia di luar kemampuan saya,” katanya.

Zamani menolak kenyataan Ezad sengaja menumpang popularitinya kerana dia juga mempunyai nama besar dalam industri.

“Perkara ini tak perlu ditimbulkan kerana apa yang dilakukan ialah bagi memenuhi impiannya.

“Di satu sudut, saya juga nak mencontohi kesungguhan Ezad bagi merealisasikan perkara ini.

“Bagi saya, Ezad mempunyai populariti tersendiri kerana kalau tidak, takkan dia mampu bertahan dalam industri seni,” katanya.

Zamani pernah bergandingan dengan Ezad menerusi lagu Suara Kekasih yang turut menampilkan Datuk David Arumugam dan Allahyarham Saleem.

Diajukan soalan berkenaan pandangan negatif masyarakat terhadap gandingan mereka, Zamani enggan memandangnya sebagai satu perkara serius.

“Bagi kami apa yang lepas itu sudah lepas. Kita perlu melihat ke depan.

“Saya ambil contoh Ezad sendiri yang berjaya selepas keluar daripada kemelut itu.

“Dia pun beri peluang kepada saya. Orang nak cakap apa pun terpulanglah. Kami lebih senang untuk tak ambil peduli,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2019 @ 6:00 AM