SLAM rancang konsert selepas Aidilfitri. -Foto fail
SLAM rancang konsert selepas Aidilfitri. -Foto fail
Syafil Syazwan Jefri


Penyanyi, Zamani, 48, mengesahkan bahawa dia akan bergabung dengan anggota kumpulan Slam untuk mengadakan persembahan.

Menurutnya, rancangan itu kemungkinan besar akan berlangsung selepas Aidilfitri.

“Saya dan rakan-rakan Slam ada merancang untuk menjayakan persembahan berskala besar.

“Pada awalnya, kami nak buat sebelum Aidilfitri. Namun, berikutan beberapa hal dan komitmen, ia ditunda. Tarikhnya belum pasti, Insya-Allah selepas Aidilfitri,” katanya kepada Harian Metro.

Zamani atau nama sebenarnya Zamani Ibrahim turut memaklumkan, mereka merancang untuk tampil dengan single baru.

“Shah (Slam) ada memaklumkan kepada saya bahawa dia mahu hasilkan single baru untuk Slam. Saya belum sempat duduk berbincang dengannya lagi.

“Insya-Allah kalau perbincangan itu membuahkan hasil, saya akan kongsi lebih lanjut perkara ini,” katanya.

Zamani ditemui di konsert Festival Muzik KL Jamm menghiburkan lebih 2,000 peminatnya dengan lagu-lagu popular ketika bersama Slam, lagu solo serta karya-karya ketika bertanding dalam program Gegar Vaganza.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2019 @ 11:34 AM