ZAMANI
ZAMANI
Ridzuan Abdul Rahman

PENYANYI popular Zamani, 49, sudah mula melakukan rawatan bagi memulihkan penyakit skoliosis iaitu tulang belakang melengkung yang sudah lama dideritainya.

Zamani mendapatkan rawatan urutan di pusat rawatan di ibu negara dan sudah melakukannya sebanyak lima kali.

Zamani berkata, rawatan itu bagaimanapun terpaksa dihentikan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasa sekaligus membuat dia terpaksa menahan sakit.

"Saya meletakkan harapan sekurang-kurangnya rasa selesa dengan rawatan alternatif ini, tapi sekarang saya hanya duduk rumah dan ia buat saya bertambah sakit. Lima sesi yang dibuat itu hanya permulaan kerana sepatutnya rawatan tak terhad sehingga saya rasa okay dan ada perubahan," katanya.

Menurutnya, kesan kesakitan terasa kerana tulangnya sudah mula dipegang dan diurut, namun selepas itu terbiar.

"Sakitnya sukar digambarkan. Apa yang dirancang dah jadi lain. Saya sekarang hanya makan pil penahan sakit sahaja. Itupun tak boleh banyak sangat bimbang dengan kesan sampingannya. Di rumah pun saya banyak baring dan mendiamkan diri.

"Sekarang PKP digantikan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Harapnya saya dapat berkunjung semula ke sana untuk meneruskan rawatan dalam masa terdekat," katanya.

Terdahulu, Zamani yang berkahwin dengan Nur Juliana Abdul Rani, 38, pada 20 September lalu pernah menjalani pemeriksaan di sebuah pusat perubatan swasta namun tidak melakukan rawatan susulan kerana terlalu sibuk.

Dia yang mengerjakan umrah bersama isteri dan keluarganya pada 30 Oktober lalu, pernah memberitahu keadaan tulang belakangnya semakin teruk.

"Saya tak kisah sama ada rawatan moden atau tradisional asalkan penyakit ini dapat dikurangkan," katanya.

Dia yang menginginkan zuriat turut berharap penyakit ini tidak mengganggu karier dan kehidupan berkeluarganya.

Zamani kini tampil dengan lagu hari raya berjudul Syawal Ini terbitan KRU Music. Lagu ciptaan Neo dan penerbit Bajai ini mengisahkan mengenai keinsafan dan kesyukuran seorang insan kerana masih dapat meraikan Syawal walaupun mengharungi pelbagai cabaran.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2020 @ 5:02 PM