ZAMANI (tengah) bersama sebahagian peminatnya dari Kelantan, Pahang dan Singapura dalam Majlis Meet and Greet di Hotel Emaslink Pasifik, Kota Bharu.
ZAMANI (tengah) bersama sebahagian peminatnya dari Kelantan, Pahang dan Singapura dalam Majlis Meet and Greet di Hotel Emaslink Pasifik, Kota Bharu.
Nor Amalina Alias


AURA Zamani Ibrahim masih berbisa seperti pada zaman kegemilangannya dulu. Meskipun punya ramai pengikut setia, penyanyi yang popular dengan lagu Gerimis Mengundang itu mengakui perlu bijak menguasai media sosial bagi mengekalkan nama dalam industri hiburan.

Sebagai persediaan, dia melalui syarikat rakamannya, Zamani Ibrahim Music Entertainment (ZIME) Production kini aktif berkomunikasi dengan peminat di Facebook dan Instagram.

Katanya, dia juga sudah melantik beberapa individu yang bertanggungjawab menjaga akaun laman sosial selain menukar pengurusan demi mengurus jadual persembahan serta merancang strategi untuk memperkasakan syarikat yang ditubuhkan tahun lalu.

“Saya akui tak pandai sangat bab teknologi. Sekarang saya belajar cara berkomunikasi di alam maya dengan peminat memandangkan ada yang menetap di luar negara.

“Apatah lagi mendapat sokongan tidak berbelah bahagi daripada mereka sejak muncul semula dengan lagu Aduh awal tahun ini,” katanya ketika ditemui di Majlis Meet and Greet di Hotel Emaslink Pasifik, Kota Bharu, Kelantan. Zamani menghiburkan lebih 200 peminat setianya di negeri ini selain turut dihadiri peminat dari seluruh tanah air dan Singapura.

Zamani berkata, syarikatnya teruja menghasilkan karya baru termasuk kolaborasi dengan Ezad Lazim menerusi lagu Lima Aksara ciptaan Mulah serta lirik oleh Ahmad Fedtri Yahya.

Katanya, lagu itu dimuat naik di YouTube Jumaat lalu dan mencatat 52,000 tontonan.

“Saya juga banyak buat siaran langsung di Instagram untuk berkongsi perkembangan kerjaya, jadual dan pengurusan supaya memudahkan mana-mana pihak menawarkan sebarang persembahan.

“Kalau dulu kita kenal peminat hanya melalui persembahan tetapi dunia kini tanpa sempadan,” katanya yang terharu dengan kehadiran peminat termasuk berbangsa Cina.

Zamani berkata, Lima Aksara adalah single kedua diterbitkan ZIME selepas Aduh dan setakat ini syarikatnya hanya fokus menghasilkan lagu untuk dirinya dan ahli keluarga sahaja.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2019 @ 4:00 AM