MAMAT Exists
MAMAT Exists
Norhayati Nordin


“Saya ada syorkan kepada Mamat supaya mencari teman hidup. Dia (Mamat) tidak boleh terus hidup bersendiri,” kata penyanyi Ezad Lazim. Mamat yang sudah tiada ibu bapa berhadapan dengan pelbagai masalah dan dia sangat memerlukan sokongan moral yang kuat.

Ezad, 40, yang juga bekas vokalis kumpulan Exists berkata, kehadiran isteri sangat membantu suami yang terjebak dengan dadah.

“Selain itu, kesungguhan diri untuk berhenti mengambil dadah juga sangat penting jika penagih mahu kembali kepada kehidupan normal.

“Biarpun ia agak sukar dilakukan, saya bersyukur kerana isteri dan keluarga banyak memberikan sokongan untuk pulih, katanya.

Ezad atau nama sebenar Mohd Rohaizad Mohamad Lazim berkata dia memahami situasi yang dilalui Mamat.

“Saya pun pernah terjerumus dalam penagihan dadah suatu ketika dahulu dan jujur dikatakan sokongan moral sangat penting.

“Menerusi sokongan moral daripada orang sekeliling terutama isteri, keluarga dan rakan, kita akan jadi lebih kuat semangat,” katanya.

Ezad mendirikan rumah tangga dengan Nor Azeana Ramli pada 2013 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Puteri Rania Keisha, 6, dan Putra Mohammad Darwish, 3.

Sudah lebih lima tahun menjalani kehidupan bebas dadah, Ezad mengakui isteri dan anak menjadi tulang belakangnya untuk berubah.

“Sebenarnya memang mudah untuk mengucap permohonan maaf. Namun, ia mesti dibuktikan dengan keinsafan dan hargai peluang kedua yang diberikan.

“Dalam kes Mamat, saya tahu dia sudah banyak kali memohon maaf kepada masyarakat. Kini, saya harap dia dapat buktikan,” katanya.

Ezad berkata seiring peningkatan usia, hubungan persahabatan dengan Mamat kini berlangsung dengan matang dan saling menasihati.

Sehubungan itu, Ezad dan Mamat baru-baru ini bergabung menghiburkan peminat dalam Konsert Exists Reunion di Stadium Malawati, Shah Alam. Namun, ketika rancak mempromosikan konsert itu, Mamat ditahan pihak berkuasa atas kesalahan dadah pada 8 September lalu.

Penyanyi lagu Rahsia Pohon Cemara itu bagaimanapun dibebaskan daripada tahanan reman dengan jaminan polis pada 10 September lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 September 2019 @ 6:46 PM