Kenyataan media KPM mengenai penutupan sekolah di Pasir Gudang bermula hari ini hingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.
Kenyataan media KPM mengenai penutupan sekolah di Pasir Gudang bermula hari ini hingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.
Isma Ismail


SEMUA 111 sekolah di seluruh Pasir Gudang ditutup berkuatkuasa serta-merta susulan pencemaran bahan kimia di daerah itu sejak 7 Mac lalu.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dalam kenyataan medianya pada 10.30 malam tadi berkata, kesemua sekolah berkenaan ditutup bermula hari ini hingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Menurutnya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memutus untuk menutup sesi persekolahan itu berdasarkan situasi semasa dan makluman daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.

Katanya, sehubungan itu kesemua murid, pelajar, guru, kakitangan dan pekerja di semua sekolah berkenaan tidak perlu hadir sehingga situasi kembali pulih.

“Pihak kementerian memohon agar semua pihak mengambil langkah berjaga-jaga dan sentiasa peka dengan arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan itu.

  • Lagi berita berkaitan gas beracun Sungai Kim Kim
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2019 @ 11:33 PM