Mohd Sabran Md Sani


SEMUA 111 sekolah di seluruh Pasir Gudang yang terjejas akibat pencemaran bahan kimia di Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, akan terus ditutup sehingga cuti sekolah bermula 22 hingga 30 Mac ini sebagai langkah berjaga-jaga.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, arahan penutupan itu dibuat selepas beliau mendengar taklimat dan mendapatkan penjelasan daripada semua pihak berkuasa dan pakar yang terbabit dalam isu pencemaran sisa kimia di Pasir Gudang, hari ini.

“Saya hadir hari ini ke Menara Aqabah Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) mendengar taklimat dan mendapatkan penjelasan daripada semua pihak berkuasa dan pakar yang terbabit dalam isu pencemaran sisa kimia di sini.

“Berdasarkan taklimat dan selepas mendapat penjelasan menyeluruh daripada pihak berkuasa dan pakar-pakar berkaitan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mendapati semua sekolah yang ditutup masih belum boleh dibuka dan tempoh penutupan masih berjalan sehingga dimaklumkan kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena lawatan ke pusat rawatan awal di Stadium Tertutup MPPG di sini, hari ini.

JOHOR BAHRU 18 MAC 2019. Penemuan beberapa tong biru berbau seakan cuka yang dibuang pihak tidak bertanggungjawab ke dalam Sungai Sembilang berhampiran SMK Tanjung Puteri Resort, Pasir Gudang. NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
JOHOR BAHRU 18 MAC 2019. Penemuan beberapa tong biru berbau seakan cuka yang dibuang pihak tidak bertanggungjawab ke dalam Sungai Sembilang berhampiran SMK Tanjung Puteri Resort, Pasir Gudang. NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

Taklimat Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Johor disampaikan Pegawai Daerah Johor Bahru, Ketua Polis Negeri Johor, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Johor, Pengarah Jabatan Kimia Malaysia (Johor) serta Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Johor.

Beliau berkata, dengan penjelasan itu diharapkan semua pihak sedia maklum mengenai perkembangan semasa krisis ini.

“Sekolah akan terus ditutup sehingga cuti sekolah. Dengan penjelasan ini semua pihak akan sedia maklum mengenai perkembangan semasa krisis ini.

“Bagaimanapun maklumat lanjut akan disampaikan dari masa ke semasa,” katanya.

Ditanya sama ada akan ada cuti ganti, beliau berkata, ia masih belum difikirkan kerana pihaknya lebih mengutamakan keselamatan pelajar dan guru.

“Pada saya itu (keselamatan) perlu diutamakan terlebih dahulu, selain tidak ada perubahan jadual peperiksaan awam,” katanya.

KPM pada 13 Mac lalu mengarahkan semua 111 sekolah di seluruh Pasir Gudang ditutup berkuatkuasa serta-merta susulan pencemaran bahan kimia di kawasan berkenaan sejak 7 Mac lalu.

Maszlee dalam kenyataan medianya dipetik sebagai berkata, kesemua sekolah ditutup hingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

KPM memutuskan untuk menutup semua sekolah berdasarkan situasi semasa dan makluman Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri. Sehubungan itu, semua murid, pelajar, guru, kakitangan dan pekerja di semua sekolah berkenaan tidak perlu hadir sehingga keadaan pulih.

  • Lagi berita berkaitan gas beracun Sungai Kim Kim
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2019 @ 1:27 PM