14 daripada 30 bekas pemain Perlis masih belum ada pasukan. -Foto fail
14 daripada 30 bekas pemain Perlis masih belum ada pasukan. -Foto fail
Syazwan Msar & Dziyaul Afnan Abdul Rahman


APALAH nasib mereka apabila sekurang-kurangnya 14 daripada 30 pemain Perlis masih lagi tidak mempunyai pasukan sehingga kini selepas Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan keputusan menyingkirkan Singa Utara daripada saingan Liga Perdana baru-baru ini.

Bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga apabila bukan saja tidak mendapat gaji sejak Disember lalu ditambah pula Perlis disingkirkan daripada saingan liga, malah lebih membebankan lagi tiada pula pasukan merisik pemain terbabit sekali gus memperlihatkan episod malang terus membelenggu Singa Utara.

Malah, pemain yang satu ketika dahulu mempunyai nama besar dalam arena bolasepak negara turut sama ‘karam’ bersama pasukan terbabit yang dilihat tiada ruang dan peluang untuk bersaing dalam liga apabila MFL tetap menolak rayuan Singa Utara kelmarin.

Antara nama besar atau boleh dikatakan pemain berpengalaman yang sehingga kini masih belum dirisik mana-mana pasukan adalah tiga bekas pemain kebangsaan, Mohd Badhri Radzi, Mohamad Azmi Muslim dan Amirizdwan Taj Tajudin yang sehingga kini masih menunggu panggilan daripada kelab lain untuk musim 2019.

“Sehingga kini saya masih lagi menunggu panggilan atau tawaran daripada pihak tertentu namun setakat ini tiada pasukan membuat tawaran secara rasmi.

“Saya tidak tahu nak tunggu sampai bila namun berharap ada rezeki nanti walaupun masa sudah semakin suntuk,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Sementara itu, pemain pertahanan, Amirizdwan turut mengesahkan belum menerima sebarang tawaran daripada mana-mana pasukan Liga Malaysia.

“Saya masih meletak harapan jika ada pasukan yang sanggup mengambil saya walaupun mengetahui ada banyak kekangan apabila saingan liga sudah bermula.

“Nasib kami sekarang ini masih samar dan lebih kasihan lagi pemain baharu yang masih mentah namun sudah melalui pengalaman yang cukup berliku,” katanya.

Turut terkesan akibat penyingkiran skuad Singa Utara itu adalah bekas penjaga gol PKNS FC Mohd Shahril Sa’ari yang pasti menyesal memilih Perlis untuk musim ini, selain Fahrul Razi Kamaruddin dan Mohamad Shukor Azmi.

Pemain Perlis lain ialah Mohd Nazrin Syamsul Zambri, Azmizi Azmi, Mohd Hafizi Amirdudin, Mohamad Syamin Baharuddin, Amirizdwan Taj Tajudin, Mohamad Ab Aziz Ismail dan penjaga gol kedua Singa Utara Mohammad Fikri Che Soh.

Di sebalik duka skuad Singa Utara itu, ada juga pemain yang mampu menarik nafas lega apabila terdapat pasukan sudi mengambil mereka sebaik mengetahui Perlis menghadapi masalah terutama membabitkan tunggakan gaji.

Bekas penyerang Singa Utara yang kini menyarung jersi PJ City Safee Sali antara pemain yang masih lagi ‘laku’ apabila dia terus disambar pasukan yang berpangkalan di Lembah Klang itu sebaik menyatakan hasrat mencari pasukan lain.

Turut laris ialah Khyril Muhymeen Zambri yang kini gembira dapat menyarung jersi skuad kendalian B Sathianantan bagi menguatkan lagi jentera tengah Selangor.

Kelincahan bekas pertahanan import Perlis Masaki Watanabe jelas mencuri tumpuan FELDA United apabila terus menyambar pemain terbabit bagi melengkapkan senarai pemain mereka.

Empat bekas pemain Perlis lain, Fakhrullah Rosli, Yusri Abas, Sabri Adam dan Jasmir Mehat pula membuat keputusan menyertai pasukan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) FC bagi saingan Liga M3 musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mac 2019 @ 6:30 AM