IZHAM bidas kenyataan PFA. FOTO/NSTP
IZHAM bidas kenyataan PFA. FOTO/NSTP
Syafiq Aznan


KUALA LUMPUR: Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) tampil membidas Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) selepas PFA mengumumkan isu tunggakan gaji yang membelenggu pasukan itu dianggap sudah selesai.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Izham Ismail menjelaskan PFA masih belum memberikan apa-apa status terkini membabitkan tunggakan gaji bagi 2016 dan 2017 selain tunggakan gaji bagi 2018 yang akan dibayar secara ansuran.

"Selagi bayaran akhir belum dibuat, isu tunggakan gaji ini tidak boleh dianggap sudah selesai. Jadi PFAM menggesa agar PFA benar-benar serius dalam isu hutang ini disebalik keghairahan menandatangani nama-nama besar bagi saingan musim hadapan. 

"Tidak mustahil, jika PFA terus menerus mengabaikan tanggungjawab ini, pemain-pemain baharu akan menjadi mangsa seterusnya," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, PFA mengesahkan pihaknya sudah menyelesaikan isu tunggakan gaji yang membelenggu skuad Singa Utara, sebelum ini.

Justeru, skuad itu sedang mempersiap pasukan untuk mengharungi musim baharu yang menyaksikan beberapa nama besar dibawa masuk seperti bekas kapten Kelantan, Badhri Radzi;  Khyril Muhymeen Zambri, Azmi Muslim, Azmizi Azmi dan Amirizdwan Taj.

Dalam perkembangan sama, Izham turut menuntut semua pasukan yang masih mempunyai tunggakan gaji supaya mengambil serius berhubung soal pembayaran hutang kepada pemain selain menagih kredibiliti Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi menyelesaikan masalah ini.

"PFAM melihat pasukan yang berhutang masih lagi tidak mengambil apa-apa inisiatif untuk menyelesaikan tunggakan gaji pemain namun ironinya sangat rancak dalam menandatangani pemain baru termasuklah pemain import bagi saingan musim hadapan. 

"PFAM juga ingin menggesa pihak FAM untuk segera mengeluarkan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib kerana kelewatan dalam menentukan keputusan ini akan memberi kesan besar kepada pemain apabila pasukan terus terlepas dari dikenakan hukuman sebelum saingan musim baru bermula," katanya.

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Disember 2018 @ 2:17 PM