Tun Dr Mahathir menyampaikan kata-kata semangat kepada skuad kebangsaan Harimau Malaya di Bangunan Perdana Putra hari ini. FOTO BERNAMA
Tun Dr Mahathir menyampaikan kata-kata semangat kepada skuad kebangsaan Harimau Malaya di Bangunan Perdana Putra hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

PUTRAJAYA: "Jangan kecewakan saya dan negara kita,” kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang akan menyaksikan perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2018 di Stadium Bukit Jalil, membabitkan Malaysia menentang Vietnam pada 11 Disember ini.

Dalam pertemuan untuk menyuntik semangat skuad Harimau Malaya di Perdana Putra di sini hari ini, Dr Mahathir berkata melalui kemenangan, kebolehan negara dapat dibanggakan.

“Kita nak cari kemenangan kerana kita nak berbangga dengan kebolehan negara kita.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita bertanggungjawab mempertahankan maruah dan kehormatan negara,” katanya yang berharap skuad Harimau Malaya akan lakukan yang terbaik untuk mendapat kemenangan.

Pada pertemuan yang dihadiri Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, ketua jurulatih skuad Harimau Malaya Tan Cheng Hoe, dan kapten, Zaquan Adha Abd Razak, Hamidin juga menyampaikan jersi nombor 7 kepada Dr Mahathir.

Malaysia akan bertemu Vietnam pada pentas akhir Piala AFF yang akan menggunakan format timbal balik, dengan skuad negara bakal melayan kunjungan Vietnam pada 11 Disember, sebelum aksi kedua di Hanoi, pada 15 Disember.

Dr Mahathir dalam pertemuan itu turut berpesan agar pemain berdisiplin khususnya menjaga masa rehat dan berlatih bersungguh-sungguh dan semangat untuk mendapat kemenangan.

“Saya harap anda bekerja keras dan banyakkan berlatih. Hidup, tidur dan fikir hanya bola dan menang untuk Malaysia,” katanya.

Dr Mahathir turut menyatakan hasratnya untuk melihat pasukan Malaysia melayakkan diri ke saingan Piala Dunia.

“Bola sepak adalah satu sukan yang dahulunya Malaysia kuat dan kerap menang. Sekarang, kita ketinggalan," katanya.

Beliau berkata, negara Jepun telah mencapai kejayaan yang cukup pantas dan amat baik sedangkan dahulu mereka berada di belakang Malaysia dalam sukan bola sepak.

“Disebabkan mereka berlatih bersungguh-sungguh, Jepun telah maju dalam bola sepak sehingga dapat beraksi di Piala Dunia. Jadi, saya nak lihat pasukan Malaysia akan beraksi dalam Piala Dunia satu hari nanti,” katanya.

  • Lagi berita Piala AFF
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Disember 2018 @ 6:41 PM