Muhammad Adib dan tunangnya,  Nurul Najihah Mohd Radzi.
Muhammad Adib dan tunangnya, Nurul Najihah Mohd Radzi.
Petah Wazzan Iskandar


“BAGAIKAN satu keajaiban apabila kami menerima berita Muhammad Adib mula menunjukkan perkembangan positif dan keadannya semakin stabil," kata Safirun Mohd Zubir, 40.

Safirun adalah bapa saudara anggota Bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, yang parah selepas diserang perusuh dalam kejadian pencerobohan kuil di Subang Jaya, Selasa lalu.

Katanya, mereka sudah berserah kepada Allah apabila mengetahui keadaannya, namun tidak menyangka Muhammad Adib yang bakal melangsungkan perkahwinannya pada 26 Disember ini, menjadi mangsa.

“Selepas mengetahui Muhammad Adib semakin pulih pagi tadi, saya bersama ahli keluarga lain menitiskan air mata. Ini menunjukkan dia mempunyai semangat kuat untuk terus hidup.

“Sejak beberapa hari lalu, kami duduk di hadapan rumah keluarganya membincangkan perkara yang menimpa dia. Muhammad Adib ini suka membantu orang malah pilihannya untuk menjadi anggota bomba sememangnya bertepatan.

“Malah baru sahaja minggu lalu, Muhammad Adib pulang ke kampung untuk melihat persiapan perkahwinannya dan turut membawa kereta Perodua Myvi yang baharu dibeli untuk digunakan keluarga baharunya nanti," katanya yang ditemui di Kampung Haji Osman, Tebengau Tepi Laut, Kuala Kedah di Alor Setar, hari ini.

Sementara itu, seorang lagi bapa saudara Muhammad Adib, Kassim Md Isa, 61, berkata, mereka sekeluarga sangat tidak berpuas hati dengan tindakan perusuh yang fanatik kerana sanggup menyerang anggota penyelamat, malah seperti mahu membunuhnya pula.

“Mereka ini sangat jahat, mereka sanggup memperlakukan serangan kejam ke atas anggota bomba terutama anak saudara saya kononnya mahu mempertahankan hak mereka.

“Kami tahu polis adalah pasukan yang hebat, maka masa inilah mereka perlu buktikan dengan mengambil tindakan tegas ke atas perusuh... buru dan tangkap mereka segera dan jangan bagi mereka terlepas.

“Pihak kuil pula, jangan lepas tangan dengan menuduh orang lain kerana mereka perlu ganti kenderaan pasukan penyelamat yang rosak akibat perbuatan penyokong fanatik mereka," katanya.

NSTP sebelum ini melaporkan Muhammad Adib yang parah dipukul selepas diserang dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, Selasa lalu mula sedar dan faham arahan yang diberikan.

Perkara itu didedahkan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Seri Dr Azhari Yakub.

Beliau berkata, Muhammad Adib sebagai kritikal, namun stabil selepas sedar dan faham arahan yang diberikan yang menjadi tanda positif bahawa otaknya berfungsi.

Bagaimanapun, bagi kecederaan organ, Muhammad Adib masih menggunakan mesin Extracorporeal Membrane Oxygenation (ECMO) yang membantu fungsi paru-paru, manakala pemeriksaan tekanan darah masih rendah bermaksud buah pinggang beliau rosak dan memerlukan rawatan dialisis.

Dalam kejadian pada awal pagi Selasa lalu, Muhammad Adib anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya parah selepas diserang dan dipukul oleh perusuh.

Lagi berita berkaitan Rusuhan Kuil Maha Mariamman

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 November 2018 @ 3:09 PM