SALMA selesa ditemani suami.  FOTO/ROHANIS SHUKRI.
SALMA selesa ditemani suami. FOTO/ROHANIS SHUKRI.
Syafil Syazwan Jefri


NAMA Salma Asis sememangnya tidak asing lagi dan cukup dikenali menerusi lagu balada yang sangat mencabar vokal antaranya Aku Permata dan Akhirnya Cinta.

Selepas mendirikan rumah tangga dengan penyanyi yang juga bekas peserta Akademi Fantasia 9, Azri Abdullah, Salma sentiasa dilihat bersama suaminya.

Menurut Salma, dia selesa tatkala suami ada bersama menemaninya tidak kiralah ketika hadir di acara tertentu mahupun membuat persembahan.

“Saya ada pengurus yang akan bersama untuk menguruskan jadual persembahan dan sebagainya. Namun, saya akan rasa lebih selesa jika suami ada bersama,” katanya.

Salma berkata, suaminya adalah ketua rumah tangga yang sangat memahami tanggungjawabnya sebagai anak seni.

“Sejak kami mendirikan rumah tangga pada Januari 2015, dia memang sentiasa ada dengan saya. Tipulah kalau saya kata dalam berumah tangga tidak ada perselisihan faham. Namun, itu semua rencah dan cabaran buat kami, sekali gus mengukuhkan lagi hubungan kami sebagai pasangan suami isteri,” katanya.

Ditanya mengenai perancangan keluarga, Salma mengakui ada melakukannya.

“Memang kami merancang dan buat masa sekarang, saya masih sibuk mempromosikan single terbaru. Lagipun, anak kami, Andi Raisya masih kecil,” katanya.

Lagu baru genre berbeza

Bermula dengan kemunculannya sebagai juara program Mentor 5, seterusnya sekali lagi mengungguli takhta juara dalam program realiti 3 Juara, Salma kini cuba menampilkan kelainan.

Baginya, kelainan adalah satu strategi untuk memastikan nilai relevan nama dan dirinya di dalam industri muzik terus kekal di samping kemunculan ramai penyanyi baru.

Terbaru, Salma hadir dengan single berjudul Stop Love yang sangat berbeza berbanding lagunya sebelum ini.

“Kalau diikutkan perancangan asal, saya masih nak lancarkan lagu bergenre balada sebagai single terbaru.

“Namun, ketika Ajai selaku komposer yang sering bekerjasama dengan saya memperdengarkan beberapa lagu baru ciptaannya, saya terus tertarik dengan lagu rancak ini,” katanya.

Menurut bekas protege Erra Fazira ini, lagu terbabit sesuai dengan jiwanya di samping ingin menampilkan kelainan ketika membuat persembahan.

“Lagu ini ‘catchy’ dan dengan rentak sebegini, saya dapat berinteraksi dengan penonton. Ia juga memberikan semangat kepada saya semasa membuat persembahan. Jadi, saya rasa Stop Love sangat sesuai untuk saya,” katanya.

Sebelum ini, single Akhirnya Cinta berjaya layak ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu 32 dan Salma tentunya berharap supaya Stop Love juga dapat pergi jauh.

“Saya harap, Stop Love akan mendapat tempat di hati peminat, sekali gus mencatat pencapaian membanggakan seperti Akhirnya Cinta,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 November 2018 @ 8:17 AM