Salma pertaruhkan Atas Nama Cinta
Salma pertaruhkan Atas Nama Cinta
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Penyanyi bersuara lantang, Salma Asis berharap penampilan bersama single terbaru berjudul Atas Nama Cinta dapat mengukuhkan lagi namanya dalam industri seni tanah air.

Lagu ciptaan bersama Knight Cydeen dan Syaf Ramli serta diterbitkan Awal Muzik Entertainment dan CQ Music Malaysia menjadi naskhah terbaru taruhan penyanyi berusia 33 tahun ini seterusnya memahat posisi selesa pada perjalanan karier seninya selepas hampir 13 tahun berjuang.

Salma berkata, dia tidak pernah lelah berusaha, malah percaya lagu berkenaan mampu memberikan kepuasan buat peminat yang tidak jemu menanti karya terbarunya.

"Sebelum Atas Nama Cinta, ada beberapa single yang sudah saya hasilkan cuma kurang mendapat sambutan. Namun, saya sentiasa percaya dengan rezeki yang tertulis dan berusaha mencari lagu baharu yang memenuhi kehendak diri sendiri serta peminat.

"Sebaik mendengar lagu ini, terdetik di hati saya untuk merakamkannya sebagai single terbaharu. Saya tertarik dengan komposisi dan lirik lagu ini yang sangat puitis.

"Kali pertama mendengar demo dan menghayati bait liriknya, saya seperti mahu menangis. Serius, ia sangat menyentuh hati dan perasaan membuatkan tak mampu menolaknya," kata anak kelahiran Tawau, Sabah itu.

Bakat yang dicungkil menerusi program Mentor musim kelima dan 3 Juara itu mengakui, pengalaman lalu banyak membantunya sepanjang menyiapkan proses rakaman Atas Nama Cinta.

Salma mahu terus mencipta nama dalam dunia seni
Salma mahu terus mencipta nama dalam dunia seni

Menurut Salma, dia membuat persediaan lebih rapi, terutama dalam memahami melodi dan lirik supaya dapat memberikan penghayatan yang terbaik ketika proses rakaman.

"Alhamdulillah, pengalaman lalu banyak membantu saya ketika menyiapkan single ini. Mungkin dulu lebih memikirkan bagaimana untuk mencapai nota-nota tinggi ketika menyanyi, tetapi sekarang itu bukan lagi keutamaan.

"Kini lebih memberikan fokus kepada penghayatan kerana mahu pendengar benar-benar merasai nyanyian. Itu lebih penting kerana mahu nyanyian lebih seimbang, pada masa sama menyentuh hati ramai," kata Salma yang mengakui lagu itu sedikit istimewa kerana pernah cuba dirakamkan oleh beberapa penyanyi, tetapi tidak diterbitkan atas beberapa alasan.

"Mungkin ini yang dikatakan rezeki. Alhamdulillah apabila lagu ini sampai kepada saya, semua proses berjalan dengan begitu baik sekali. Cuma dari sudut susunan muzik, saya minta diubah sedikit untuk disesuaikan dengan cara penyampaian saya.

"Secara peribadi, saya tiada masalah untuk bekerja dengan komposer senior atau baharu. Saya tidak pernah meletakkan sebarang syarat kerana apa yang penting, saya mahu terus melangkah, berusaha dan bekerja keras untuk memastikan karya ini diterima.

"Yakin pada rezeki dan siapa tahu lagu ini dapat membawa saya untuk kembali beraksi di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) selepas kali terakhir membolosi dengan Akhirnya Cinta pada AJL 32," katanya.

Mengulas mengenai cabaran dan persaingan dalam industri muzik, Salma tidak menafikan ada ketika dia terkesan apabila peminat sering membandingkan kemampuannya dengan penyanyi lain.

Seperti insan lain, dia juga mengaku mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri. Justeru, dia berharap peminat lebih terbuka dan menerima kekurangan serta kelebihannya kerana itu yang membentuk identitinya.

Salma turut menyimpan impian untuk mencipta nama lebih besar di rantau Nusantara, termasuk menembusi pasaran Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2024 @ 4:34 PM