PERSEMBAHAN duet Salma bersama Azlan Typewriter.
PERSEMBAHAN duet Salma bersama Azlan Typewriter.
JURI tetap (dari kiri) Noraniza, Rossa dan Awie.
JURI tetap (dari kiri) Noraniza, Rossa dan Awie.
SALMA bersama Kudien (kiri) dan Azizul.
SALMA bersama Kudien (kiri) dan Azizul.
SALMA bersama Ajai selepas dinobatkan juara.
SALMA bersama Ajai selepas dinobatkan juara.
Najiy Jefri


Program realiti 3 Juara yang mempertaruhkan genre rock, balada dan irama Malaysia bukan sahaja menjadi pentas mencungkil bakat baru malah melahirkan individu berpotensi menguasai semua irama yang mewarnai industri hiburan tempatan.

Pentas Epik 3 Juara yang melabuhkan tirainya Ahad lalu, menyaksikan Salma diangkat sebagai juara keseluruhan yang melayakkannya membawa pulang wang tunai RM100,000 serta menyandang gelaran Juara Antara Juara.

Pentas Epik 3 Juara memaparkan pertembungan juara bagi tiga kategori yang diwakili Salma (balada), Azizul (irama Malaysia) dan Kudien (rock).

Minggu lalu, Salma, Kudien dan Azizul diumumkan juara kategori masing-masing pada Konsert Akhir 3 Juara yang berlangsung di lokasi sama serta berjaya meraih wang kemenangan RM50,000.

Biarpun pernah menjuarai program Mentor 5 sebelum ini, Salma yang juga bekas protege Erra Fazira tidak menganggap kejayaan terdahulu memberi laluan mudah untuk mengetepikan dua pesaingnya.

Menurut pemilik nama sebenar Salmah A Asis ini, dia enggan mensia-siakan peluang kedua meletakkan kembali namanya dalam gelanggang seni.

Salma bersyukur dengan kemenangan itu dan merancang menghasilkan single baru demi kelangsungan kariernya.

“Kemenangan ini di luar jangkaan saya. Ketika menunggu keputusan diumumkan, nama Kudien berlegar-legar dalam fikiran saya sebagai juara kerana dia menerima sorakan kuat daripada penonton.

“Alhamdulillah, rezeki berpihak kepada saya. Sebenarnya semua berbakat dan ada kekuatan dalam genre yang dibawakan. Saya sendiri tercabar melihat persembahan yang dipamerkan Azizul dan Kudien.

“Kejayaan ini akan menjadi titik permulaan untuk saya kembali dalam industri seni selepas hampir enam tahun menyepi. Insya-Allah saya bakal tampil dengan single terbaru tidak lama lagi,” katanya seraya memaklumkan wang kemenangan itu akan digunakan sebaik-baiknya untuk keluarga.

Mengagumi bakat besar Ajai selaku komposer bagi kategori balada, Salma menjelaskan dia bakal menyertai syarikat produksi Wake The Baby Record milik gurunya itu.

“Ajai antara komposer yang saya impikan untuk bekerjasama. Sentuhannya berjaya melahirkan ramai penyanyi hebat. Saya berbesar hati mendapat tunjuk ajarnya. Walaupun dia tegas dan garang, itulah yang menjadikan siapa saya pada hari ini.

“Syukur Ajai menawarkan saya untuk bernaung di bawah syarikatnya dan menerbitkan single untuk saya. Inilah yang dinamakan rezeki apabila dia sudi membentuk saya menjadi artis yang lebih bagus dan membawa saya ke satu tahap lebih tinggi,” katanya.

Bagi Ajai atau nama sebenarnya Faizal Maas, kejayaan Salma langsung tidak dijangka apabila ketiga-tiga juara yang mewakili genre balada, rock, dan irama Malaysia mempamerkan aksi luar biasa.

“Saya tidak dapat mengagak siapa bakal bergelar Juara Antara Juara Pentas Epik 3 Juara kerana semuanya bagus. Saya berpesan kepada Salma supaya sentiasa fokus dan buat sehabis baik kerana inilah tempat untuk membuka mata umum terhadap kebolehan nyanyiannya.

“Saya gembira dengan persembahan Salma yang bermula dengan nyanyian solo I Surrender. Apa yang dapat saya simpulkan, dia tidak melakukan kesilapan dalam persembahan,” katanya.

Air mata Ajai menitis

Siapa sangka penerbit terkenal ini tidak dapat menahan air mata apabila Salma meraih kejayaan.

Ditanya apakah yang membuatkan dia tersentuh sehingga menangis, Ajai berkata program ini sangat hebat.

“Program ini berbeza apabila sebelum Pentas Epik 3 Juara kami tidak memikirkan mengenai persaingan. Saya bersama komposer lain bergabung tenaga mencari bakat baru di lokasi uji bakat dan ia bukan satu tugas yang mudah. Pada akhirnya kami menemui permata yang bersinar terang dan boleh pergi jauh dalam industri.

“Selain itu, saya terharu dengan kemampuan nyanyian Salma. Saya berpesan kepadanya jangan terikat dengan pengalaman lalu. Apabila bekerja dengan penerbit berbeza sudah tentu didikannya berbeza,” katanya.

Kata Ajai, dia berharap peluang kedua buat Salma dapat menjulang kembali nama anak didiknya itu.

“Selepas ini saya tidak mahu lagi Salma menyertai mana-mana program realiti kerana pertandingan ini sudah membuktikan dia penyanyi yang hebat dan berkualiti.

“Malah saya juga sudah melamarnya menyertai Wake The Baby Record bersama peserta kategori balada yang lain. Kini sasaran saya adalah menghasilkan single baru buat Salma untuk dipertandingkan dalam acara berprestij seperti Anugerah Juara Lagu.

“Namun perkara utama yang menentukan kembara seninya berterusan adalah lagu yang bakal dibawa nanti dapat diterima pendengar atau sebaliknya,” katanya.

Dalam Pentas Epik 3 Juara, semua juara bagi tiga kategori ini membuat persembahan solo, duet bersama penyanyi popular dan trio.

Setiap kategori diwakili penerbit muzik ternama Malaysia iaitu Ajai untuk balada, Edrie Hashim (rock) dan Pak Ngah (irama Malaysia).

Program itu turut diserikan dengan kehadiran tiga ikon berpengalaman dalam genre yang dipertandingkan iaitu Datuk Rossa, Datuk Awie dan Noraniza Idris selaku juri.

Sementara itu, Mira Filzah bersama anggota kumpulan Titan, Ammar dan Issey menggalas amanah sebagai pengacara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2017 @ 12:31 PM