SALMA beruntung kerana suaminya, Azri Abdullah turut membantunya dalam perniagaan. FOTO Rohanis Shukri
SALMA beruntung kerana suaminya, Azri Abdullah turut membantunya dalam perniagaan. FOTO Rohanis Shukri
Ridzuan Abdul Rahman

KEMUNCULAN ramai bakat baru menerusi pertandingan nyanyian realiti serta medium YouTube ketika ini memberikan cabaran besar buat tiga penyanyi kelahiran Sabah ini.

Ketiga-tiganya masih muda dan masing-masing berbakat besar dalam bidang nyanyian, namun setakat ini rezeki belum berpihak kepada mereka.

Inilah hakikat yang perlu diterima Salma Asis, Ayu Damit dan Reyhana Yunus.

Melihat profil mereka, masing-masing berpengalaman dan pernah menyertai pelbagai pertandingan nyanyian realiti tanah air.

Salma dikenali kerana muncul juara program Mentor 5 di bawah didikan mentor Erra Fazira pada 2011.

Dia turut menjuarai program Tiga Juara di bawah bimbingan komposer Ajai pada 2017.

Ayu pula mencatat sejarah apabila menjuarai pertandingan nyanyian One in a Million musim kedua pada 2008.

Reyhana pula muncul tempat ketiga Bintang RTM 2007 serta pernah menyertai pertandingan nyanyian One In A Million pada 2009.

Ketika ditemui baru-baru ini, mereka berkongsi impian untuk bergandingan menghasilkan album istimewa bakat kelahiran Borneo.

“Perkara ini pernah kami bincangkan sebelum ini. Alangkah gembiranya jika ia jadi kenyataan.

AYU taukeh tanaman cili dan cili jeruk. FOTO Rohanis Shukri
AYU taukeh tanaman cili dan cili jeruk. FOTO Rohanis Shukri

“Cuma, isunya kami berdepan masalah modal. Sekiranya ada mana-mana pihak berminat untuk menaja, kami amat berbesar hati,” kata Ayu.

Menyedari tidak boleh bergantung harap pada kerjaya nyanyian sepenuhnya, mereka mencari alternatif lain dengan menceburi bidang perniagaan.

Salma buat kuih

Salma yang kini hadir dengan single terbaru berjudul Stop Love ciptaan Ajai berkata, dia sibuk dengan perniagaan kudap-kudap hasil air tangannya.

“Tahun lalu saya tampil dengan single Akhirnya Cinta ciptaan Ajai. Sekarang saya bekerjasama lagi dengannya menerusi single terbaru ini.

“Ini lagu rancak dan satu kelainan yang saya ketengahkan. Alhamdulillah, impian untuk tampil lagu konsep sebegini akhirnya jadi kenyataan.

“Selain itu, saya aktif buat kuih yang dikenali sebagai kudap-kudap sebagai pendapatan tambahan. Syukur, sambutan yang diterima daripada pelanggan amat menggalakkan,” katanya yang bernaung di bawah syarikat Wake The Baby milik Ajai.

Ayu jadi taukeh cili

Ayu yang pernah tampil dengan single Dari Hati memberitahu dia mengusahakan tanaman cili padi di Hulu Langat dan menjual cili jeruk.

“Awalnya saya usahakan tanaman cili padi saja tapi kini ia dikembangkan pula kepada cili dan terung sebagai sistem giliran.

REYHANA gembira sambal ikan bilis buatannya mendapat sambutan. FOTO Rohanis Shukri
REYHANA gembira sambal ikan bilis buatannya mendapat sambutan. FOTO Rohanis Shukri

“Sebelum ini saya buat di bawah syarikat lain tapi sekarang saya uruskan sendiri sepenuhnya bersama suami. Cuma, tanah empat ekar disewa daripada orang lain.

“Alhamdulillah, hasil yang diraih amat lumayan. Untuk cili, kena tunggu enam bulan untuk dapat hasil. Saya ambil inisiatif buat cili jeruk UG yang dipasarkan di pelbagai lokasi,” katanya yang belajar sendiri cara menghasilkannya.

Reyhana jual sambal ikan bilis

Reyhana mengakui lagunya Saya Sayang Awak ciptaan Eddie Hamid yang diterbitkan pada 2013 agak popular namun ia belum cukup untuk memperkenalkan namanya kepada peminat.

“Mungkin rezeki belum berpihak kepada saya, kerana itu saya buat keputusan untuk jual sambal bilis jenama Hantu Sambal.

“Sebelum ini saya ada buat perniagaan lain tapi memandangkan hantu sambal dapat sambutan, saya fokus yang ini saja.

“Apapun minat menyanyi tak pernah berkubur dan saya pasti akan muncul dengan single baru satu hari nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Februari 2019 @ 8:11 AM