PENGADIL dibawa keluar oleh pegawai pertandingan.
PENGADIL dibawa keluar oleh pegawai pertandingan.
PEMAIN UiTM Perlis (jersi putih) dan pemain UiTM Shah Alam (baju hijau) bergaduh.
PEMAIN UiTM Perlis (jersi putih) dan pemain UiTM Shah Alam (baju hijau) bergaduh.
Oleh Mohd Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Walaupun pengadil perlawanan dikatakan punca pergaduhan final Piala Menteri Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kelmarin, Sekretariat Jawatankuasa Induk Pertandingan tetap memberi jaminan akan mengheret pemain dan pegawai kedua-dua pasukan sekiranya didapati turut terbabit dalam insiden berkenaan.

Pengarah Pusat Sukan UiTM merangkap Pengurus Projek Liga Institut Pengajian Tinggi KPT Mustaza Ahmad berkata, pihaknya masih menanti laporan penuh pengadil dan pasukan terbabit sebelum memutuskan bentuk hukuman berdasarkan peraturan sedia ada.

“Tapi bidang kuasa kami hanya tertumpu kepada pemain dan pegawai pasukan. Jika membabitkan mutu pengadilan yang dikatakan punca insiden, kami serahkan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk tindakan selanjutnya kerana mereka yang menyediakan pengadil.

“Apapun, saya memang kesal dan kecewa dengan apa yang berlaku, lagipun perlawanan akhir itu menemukan pasukan adik-beradik dan perkara seperti itu sepatutnya dielakkan.

“Kami tidak akan berdiam diri, malah saya masih menanti laporan penuh kedua-dua pasukan untuk mendapatkan gambaran sebenar situasi itu.

“Mereka sudah diarahkan menghantar laporan dan selewat-lewatnya selepas Aidiladha ini kami akan bermesyuarat.

“Namun untuk pengadil, kami akan serahkan kepada FAM kerana tiada kuasa untuk menentukan hukuman ke atas mereka,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Pada aksi di Stadium Mini Shah Alam itu yang dicemari insiden tumbuk-menumbuk serta caci-mencaci itu, pengadil perlawanan Suresh Jayaraman turut melayangkan tiga kad merah membabitkan seorang pemain tuan rumah dan dua pelawat.

Sejurus tamat aksi yang memihak kepada pasukan UiTM Shah Alam dengan keputusan 2-1, jurulatih UiTM Perlis Manja Man meluahkan rasa kecewa terutama dengan mutu pengadilan yang disifatkannya ‘bertaraf rendah’ sehingga mengundang insiden memalukan itu.

“Pada pendapat saya, kita tidak boleh menyalahkan pengadil semata-mata atas insiden pergaduhan itu, sebaliknya pegawai pasukan juga memainkan peranan penting bagi menenangkan pemain mereka.

“Saya ada di stadium ketika kejadian itu dan saya nampak jelas ada pegawai di bangku simpanan yang cuba mengapi-apikan pemain hingga keadaan bertukar menjadi panas. “Apapun, saya akan tunggu laporan sebelum membuat sebarang keputusan,” kata Mustaza.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2015 @ 5:24 AM