BOB Lokman kelihatan sebak ketika majlis pengebumian jenazah anaknya Mohamad Adam Mohd Hakim  Lokman di Tanah Perkuburan Islam Batu 20,Kuang. FOTO - Syarafiq Abd Samad / NSTP
BOB Lokman kelihatan sebak ketika majlis pengebumian jenazah anaknya Mohamad Adam Mohd Hakim Lokman di Tanah Perkuburan Islam Batu 20,Kuang. FOTO - Syarafiq Abd Samad / NSTP
Sudirman Mohd Tahir


“SEJAK saya sakit, saya pernah cakap dalam hati. Antara saya dan Adam siapa akan ‘pergi’ dulu kerana saya tahu dia pun sakit.

“Namun, saya cakap Allah tidak datangkan ujian kepada mereka yang tidak mampu berdepan ujian itu. Dan saya tahu Adam tidak boleh tanggung ujian sekiranya saya pergi dulu,” kata pelakon dan penulis lirik popular, Bob Lokman mengenai anak sulungnya, Mohamad Adam, 25, yang meninggal dunia jam 1 pagi tadi.

Bob, 54, atau nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman berkata, Adam begitu sayang dan tidak boleh berpisah dengannya sejak kecil lagi.

JENAZAH Mohamad Adam disolatkan di Masjid Jamek Al Hilmah, Kuang selepas solat Jumaat hari ini. FOTO - Syarafiq Abd Samad / NSTP
JENAZAH Mohamad Adam disolatkan di Masjid Jamek Al Hilmah, Kuang selepas solat Jumaat hari ini. FOTO - Syarafiq Abd Samad / NSTP

Menurut Bob, Adam juga pernah menyatakan tidak mahu berkahwin kerana enggan meninggalkan dirinya.

“Ketika tingkatan satu, Adam mendapat tawaran memasuki MRSM (Maktab Rendah Sains Mara), tetapi dia tolak sebab tidak mahu tinggal jauh dengan saya.

“Ketika saya bercerai dengan ibunya, Rozita Razali, dia tetap ingin tinggal dengan saya walaupun dua adiknya memilih untuk tinggal dengan bekas isteri.

“Sejak itu saya tahu betapa Adam sayangkan saya dan tidak boleh hidup tanpa saya. Jadi, apabila dia berada di wad selama setahun selepas menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di otak pada 2001, saya yang menjaganya,” katanya kepada Harian Metro.

BOB Lokman mengiringi jenazah anaknya Mohamad Adam Mohd Hakim Lokman ketika majlis pengebumian jenazah di Masjid Jamek Al Hikmah, Kuang. FOTO - Syarafiq Abd Samad / NSTP
BOB Lokman mengiringi jenazah anaknya Mohamad Adam Mohd Hakim Lokman ketika majlis pengebumian jenazah di Masjid Jamek Al Hikmah, Kuang. FOTO - Syarafiq Abd Samad / NSTP

Bob yang juga penulis lirik lagu Isabella nyanyian Search berkata, Adam adalah tulang belakang keluarga hingga sanggup berkorban apa saja.

Bob mengakui, pemergian Adam sedikit-sebanyak menyebabkan dia hilang punca untuk menguruskan perniagaan kedai makan yang baru beroperasi di Shah Alam sejak dua minggu lalu.

“Selama saya sakit dan dua kali masuk hospital, Adam yang banyak bantu. Dia kata nak balas jasa saya sebab menjaganya selama setahun di wad.

“Sekarang saya tidak tahu nak harapkan siapa lagi untuk bantu saya dan keluarga. Saya pula masih tidak boleh bekerja keras akibat masalah jantung. Selama ini memang saya harapkan Adam.

“Malah, untuk perniagaan yang baru beroperasi dua minggu ini, saya tidak tahu nak minta siapa uruskan. Selama ini saya hanya percayakan Adam seorang,” katanya.

Bob berkata, Adam seorang anak yang jujur dan tidak pernah membelakanginya dalam segala hal.

“Pada usia sekarang, Adam masih meminta izin saya jika nak keluar rumah. Malah, dia tidak pernah ambil duit walau sesen pun. Dia akan minta dulu. Adam anak yang baik dan dia tidak ada dosa dengan saya,” katanya.

Adam yang meninggal dunia selepas pengsan di rumahnya di sini selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 20, Kuang, kira-kira jam 3.30 petang hari ini.

Sebelum itu, jenazah dimandi, dikafan dan disolatkan di Masjid Jamek Al Hikmah, Batu 20, Kuang selepas solat Jumaat.

Hadir sama, Presiden Karyawan Malaysia, Datuk Freddie Fernandez, Tam Spider dan Farah Asyikin.

Adam adalah anak sulung hasil perkahwinan pertama Bob dan isteri, Rozita Razali. Menerusi perkahwinan itu mereka dikurniakan dua lagi anak iaitu Omar Hakim, 24, dan Ahmad Sufian, 23.

Selain itu, menerusi perkahwinan kedua bersama Relawati Daud, 40, mereka dikurniakan lima anak iaitu Ahmad Rayyan, 12, Nur Amanee, 10, Luqmanulhakim, 9, Muhammad Danial, 6 dan Nur Amalin, 4.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Oktober 2018 @ 6:15 PM